MADIUS : UMNO DALANG SEBENAR BERI IC BIRU KEPADA PATI

KIULU: Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah sebelum ini adalah didalangi oleh UMNO.

Katanya, pemberian kad pengenalan itu adalah menerusi operasi khas UMNO bermula 1991 bagi menambahkan jumlah pengundi mereka untuk menumbangkan PBS pada ketika itu.

“Maklumat ini boleh diperoleh dalam hansard Parlimen bertarikh 26 Februari 2007 hasil pendengaran awam Jawatankuasa Khas Parlimen yang mendengar kenyataan ahli UMNO bernama Jabar Khan.

“Jabar mengakui pada 1991 satu badan bertindak ‘taskforce’ ditubuhkan oleh UMNO di Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Musa Aman yang ketika itu bendahari Umno Sabah untuk menjatuhkan PBS,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kiulu yang turut dihadiri presiden Warisan, Shafie Apdal, pagi tadi.

Madius berkata, keterangan Jabar menyatakan bahawa modus operandi digunakan ialah setiap PATI perlu ke balai polis untuk membuat laporan kononnya kad pengenalan mereka hilang, sebelum JPN mengeluarkan kad pengenalan untuk mereka.

“Dalam pendengaran awam ini datanglah seorang ahli UMNO nama dia Jabar Khan dia datang dalam pendengaran awam itu dan memberikan keterangan.

“Dia datang untuk memberi keterangan bahawa setelah UMNO masuk ke Sabah pada 1991 UMNO telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak taskforce dan tujuannya untuk menjatuhkan PBS.

“Bagaimana cara menjatuhkan PBS caranya dengan menternak PATI dan taskforce ini menurut Jabar Khan pengerusinya Musa Aman pada ketika itu dia adalah Bendahari UMNO Sabah dan saya fikir memang tepat jadi pengerusi sebab apabila operasi penternak PATI perlukan fulus perlukan duit sikit itulah dia bendahari.

“Beliau menyatakan bahawa taskforce ini telah berjaya memasukkan sebanyak 82,000 PATI dalam senarai pengundi kemasukkan dalam 30 kawasan DUN dengan cara memberi kad pengenalan biru kepada mereka,” katanya.

Beliau yang juga calon UPKO di DUN Kiulu berkata, Jabar Khan sebeoum ini turut mengatakan bahawa sepanjang operasi taskforce ini sebanyak 400,000 keping kad pengenalan biru telah diberikan kepada PATI.

“Kemudian untuk membuktikan bahawa jabatan ini betul-betul telah buat kerja terkutuk ini beliau sendiri telah mengaku dalam pendengaran awam itu bahawa pada akhirnya tahun 1996 beliau telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, dakwaan kononnya Parti Warisan Sabah (Warisan) ialah penternak PATI hanyalah propaganda UMNO bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri sedia ada.

Tegas beliau, hakikatnya, penternak PATI sebenar adalah UMNO.

“Inilah keterangan inilah buktinya bahawa penternak PATI yang sebenar adalah parti UMNO, yang diketuai oleh Musa Aman,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *