MADIUS : USAHAWAN PERLU MANFAAT MEDIA SOSIAL

TAMPARULI: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyeru usahawan tempatan untuk memanfaatkan platform media sosial sepenuhnya dalam memasarkan produk masing-masing.

Katanya, ia bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan produk-produk mereka sekali gus mampu meraih pelanggan dari atas talian.

“Untuk makluman, MTI melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) telah banyak melahirkan usahawan-usahawan tempatan yang menghasilkan produk-produk tempatan.

“Tapi pada ketika ini ramai yang belum mengenali produk tersebut kerana penjualannya belum sampai ke kedai-kedai runcit. Sebahagian daripadanya dijual di pasaraya sahaja selain terdapat juga beberapa yang dieksport ke luar negara,” katanya.

Sehubungan itu Madius memaklumkan, media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan youtube adalah platform terbaik untuk dijadikan ruang pemasaran dan strategi promosi yang berkesan dalam normal baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa yang sama, MTI juga melatih para usahawan untuk membuat pensijilan terhadap produk-produk mereka.

“Ini bagi meningkatkan keyakinan prospek pembeli terhadap produk yang kita hasilkan.

“Ia termasuk pensijilan halal bagi produk makanan tempatan,” jelasnya.

Madius berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan 40 kampit beras kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di sini, kelmarin (10 Mei 2020).

Antara pemimpin gereja SIB Tamparuli yang hadir

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tungginging, Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Jeffry Teo dan Kapitan Cina Kiulu, George Teo./http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *