Mahkamah Tinggi Kuching hari ini mengarahkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.
“Mahkamah turut mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan kerajaan persekutuan yang pindaan Undi18 hanya boleh dilaksanakan menjelang September 2022,” katanya semasa prosiding dalam talian hari ini.
Lima belia Sarawak, berusia 19 hingga 20 tahun, memfailkan permohonan Mei lalu untuk membatalkan keputusan kerajaan ketika itu tidak melaksanakan pindaan Undi18 Julai lalu.
Mereka mendakwa keputusan menangguhkan pelaksanaan itu tidak munasabah kerana menafikan hak mereka menjadi pengundi. Buat masa ini, hanya rakyat berumur 21 tahun ke atas boleh mendaftar sebagai pemilih.
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinamakan sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong