Undang-undang baharu terhadap berita palsu mengejutkan golongan peguam, dengan Presiden Majlis Peguam Salim Bashir menganggap kuasa kerajaan kini dalam menangani berita palsu sebagai “merisaukan”.
Dalam temu bual dengan FMT, beliau turut berkata “definisi tidak tepat” berita palsu yang merangkumi apa-apa saja melibatkan Covid-19 dan perisytiharan darurat adalah
“membimbangkan”.
Mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diwartakan hari ini, sesiapa yang menghasilkan, menyiar atau menyebarkan berita palsu akan berdepan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Jika gagal memohon maaf selepas diarahkan mahkamah juga, mereka boleh didenda tambahan RM50,000 manakala mereka yang membayar untuk “menghasilkan” berita seperti itu boleh didenda sehingga RM500,000. Ia turut merangkumi hukuman penjara.
Sementara itu, kumpulan media membidas Ordinan Darurat yang menjadikan berita palsu berhubung Covid-19 dan perisytiharan darurat sebagai satu perbuatan jenayah.
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata, mereka “amat terkejut” dengan ordinan itu yang digunakan untuk menghalang kritikan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan menggesa ia ditarik balik segera.
Katanya, ia adalah “usaha berterusan kerajaan untuk menggunakan apa saja cara bagi menggugat hak asasi dan kebebasan kita”.
Undang-undang itu berkuat kuasa tengah malam ini.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026