Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak Datuk Seri Utama Sulaiman Ali sebagai Ketua Menteri yang mengetuai Kerajaan ‘caretaker’ Melaka.
“Penting ditegaskan bahawa Pakatan Harapan menolak pembubaran DUN sebagai tidak berperlembagaan taktala negeri Melaka masih menghadapi wabak COVID-19 dan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN-ADUN.
“Majlis Presiden meneliti kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka semalam khusus berhubung penamaan Sulaiman sebagai mengetuai Kerajaan ‘caretaker’ Melaka.
“Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui bahawa Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah Kerajaan ‘caretaker’ dan seterusnya merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel.
“Oleh demikian Pakatan Harapan menolak penamaan DSU Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan tersebut dikemukakan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hj Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Menurut kenyataan itu lagi, perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti yang diketuai Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Utama Idris Haron, dan blok minoriti yang diketuai Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.
“Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri.
“Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak COVID-19.
“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.
“Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan ‘caretaker’ diwakili oleh golongan majoriti ADUN-ADUN,” jelas kenyataan itu lagi.

More Stories
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional