Mangsa kebakaran berterima kasih atas sumbangan Madius

Oleh : Debra

TUARAN: Mangsa kebakaran di Kampung Bulong Lama di sini melahirkan rasa terima kasih kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau atas sumbangan yang disampaikan baru-baru ini.

Mangsa yang juga seorang ibu tunggal, Kotoi @ Azizah Gumuk, 72, berkata beliau sangat terharu dengan keprihatinan Madius yang sanggup turun melawat mereka ketika ditimpa musibah untuk memberi sumbangan.

“Kami bersyukur atas bantuan yang diberikan.

“Ia serba sedikit meringankan beban kami sekeluarga yang kini kehilangan tempat tinggal,” tambahnya.

Kotoi berkata demikian ketika ditemui di lokasi kebakaran selepas menerima sumbangan dari Madius.

Keadaan rumah mangsa selepas kejadian kebakaran.

Dalam pada itu, mangsa sempat menceritakan kejadian kebakaran tersebut yang berlaku kira-kira pukul 1.40 petang.

Katanya, pada waktu itu beliau hanya bersama dengan dua cucunya di rumah.

“Cucu saya memaklumkan bahawa ada api di tingkat atas.

“Saya bergegas naik dan melihat sendiri api sudah marak dan merebak hampir di seluruh ruangan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, api tersebut berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dan penyelamat selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Impak kejadian menyebabkan Kotoi kehilangan tempat tinggal, dan kini menumpang di kediaman anaknya.