MARAIS CENTER IKON PELANCONGAN DI KEMABONG

Oleh Nio James

KEMABONG: Marais Center mampu menjadi ikon kepada pusat pelancongan komuniti lain di daerah Kemabong untuk bergerak maju ke hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, ia berikutan kejayaan pusat itu sebagai pusat pelancongan berasaskan komuniti yang diusahakan Koperasi Maris Centre.

Katanya, kebanyakan pelancong luar negara suka keindahan alam semula jadi seperti hutan, sungai, laut, gunung dan bukit-bukau yang semuanya ada di Kemabong.

“Koperasi ini telah memainkan peranan bagi memastikan pembangunan potensi tarikan pelancongan di kawasan ini dilaksanakan secara berkesan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan setahun penubuhan pusat pelancongan berkenaan, di sini, semalam.

Sementara itu, Jamawi memuji kesungguhan Koperasi Marais Center kerana meskipun baru setahun ditubuhkan, ia sangat proaktif dan merupakan pusat pelancongan luar bandar paling aktif di Sabah khususnya di Kemabong.

Jamawi berkata, adalah menjadi sasaran beliau pada tahun 2020 untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 10 buah pusat pelancongan berasaskan di daerah itu di mana selain Marais Centre, Rundum Highland, Bukit Layang Layang dan Pusat Rekreasi Air Kampung Kapulu kini sudah mula menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan menyarankan agar pusat pusat pelancongan komuniti yang ada di Kemabong lebih kreatif mempelbagaikan aktiviti riadah selain melastarikanya dengan pelbagai tarikan baharu seperti kraftangan, persembahan kebudayaan tempatan dan makanan tempatan sebagai satu daya tarikan baru.

“Tahun ini kita telah melancarkan Tahun Melawat Tenom dan kita menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 3,000 pelancong setiap minggu pada tahun ini, sekali gus menjadikan Tenom dan Kemabong destinasi pelancongan antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *