KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan meneruskan inisiatif sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19, dengan menghulurkan bantuan kepada komuniti maritim yang memerlukan.
Kali ini bantuan makanan diagihkan kepada 82 keluarga di Pulau Balambangan berikutan kesukaran penduduk di kawasan berkenaan mendapatkan bekalan kerana perjalanan dari pulau ke tanah besar mengambil masa hampir sejam.
Bantuan disampaikan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor dengan diiringi Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah.

Inisiatif itu hasil kerjasama Maritim Malaysia Sabah dan Labuan bersama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Mohd Rosli berkata, program bersama ini dilaksanakan berikutan kesukaran penduduk di pulau berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan daripada tanah besar Kudat terutamanya dalam tempoh PKP ini.
“Kita sedar kesukaran penduduk di pulau berkenaan dalam tempoh PKP ini, lebih-lebih lagi perjalanan dari pulau ke tanah besar juga mengambil masa hampir sejam.
“Sumbangan ini diagihkan kepada 82 keluarga di pulau berkenaan berupa beras, telur, kopi, gula dan keperluan makanan yang lain,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, Maritim Malaysia dengan kerjasama PSUP dan MPKK tidak lupa akan nasib komuniti maritim yang susah untuk mendapatkan bekalan dalam tempoh PKP ini.
“Selain itu, sumbangan ini juga sebagai menghargai kerjasama yang diberikan oleh komuniti maritim khususnya penduduk di Pulau Balambangan.
“Saya juga menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa berada di rumah, menjaga kebersihan dan mengikut arahan kerajaan serta bersama-sama dalam menghapuskan rantaian virus pendemik ini agar negara kita kembali pulih seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk pulau Balambangan, Azmi Kaba, 40, berkata, pergerakan penduduk amat terhad dan sukar untuk ke tanah besar bagi mendapatkan bekalan makanan.
“Selain itu, kebanyakan kedai tutup dan waktu operasi kedai juga terhad. Penduduk juga akan ke laut mencari ikan hanya untuk makanan sekeluarga.
“Ribuan terima kasih kepada Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan MPKK kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk di pulau berkenaan,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad