KOTA KINABALU: Kehadiran Maswings, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines ke Sabah dan Sarawak, telah meningkatkan perniagaan, pelancongan dan lain-lain sektor ekonomi yang bergantung kepada perhubungan udara yang boleh dipercayai serta selamat.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, Maswings, yang telah berkembang menjadi jenama sebutan dalam kedua-dua negeri itu, telah memudahkan perjalanan mereka dengan menghubungkan bandar-bandar kecil.
“Pada Oktober tahun ini, anda akan mencecah 10, meraikan sedekad dalam menghubungkan masyarakat di Sabah dan Sarawak. Selepas beroperasi selama hampir satu dekad, saya percaya Maswings hari ini memiliki pengalaman yang diperlukan untuk bergerak ke peringkat seterusnya.
“Anda mempunyai apa yang diperlukan bagi membuat lebih banyak tawaran dan dengan satu pasukan pengurusan yang mantap, saya pasti kami akan melihat Maswings membuat kemajuan yang lebih besar,” katanya ketika berucap semasa pelancaran Negaraku Livery pada pesawat Maswings ATR 72-500 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maswings, Aminuddin Zakaria.
Musa berkata, Maswings secara agresif telah mempromosikan produk-produk dan perkhidmatan ke seluruh Sabah dan Sarawak, walaupun berhadapan dengan cabaran khususnya dalam pertimbangan komersial dan operasi. Katanya, walaupun wujud halangan, syarikat penerbangan ini telah menunjukkan komitmen dalam memberikan pengangkutan udara yang selamat dan boleh dipercayai.
“Bagi pihak kami, kerajaan negeri akan terus memastikan kami dapat memudahkan keperluan perjalanan udara dalam perundingan dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Masidi ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, mencadangkan supaya Maswings menambah lebih banyak pesawat, sebagai langkah ke arah mengurangkan kelewatan dan pembatalan penerbangan, serta memperbaiki perkhidmatan untuk keselesaan penumpang. -Bernama
Tarikh: 30th August, 2017
More Stories
Cuaca Sejuk dan Berangin Tidak Halang Sekumpulan Pendaki Tawan Gunung Kinabalu
RM71.3 bilion pendapatan dalam sektor pelancongan pada tahun 2023
Pelancongan luar bandar dijangka terus melonjak tahun hadapan