KUDAT: Mesyuarat Jentera Pilihanraya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) N2 Bengkoka telah diadakan di Dewan Kampung Rukom pada 15 Februari 2025 yang lalu dengan kehadiran seramai 50 ahli, menandakan kesungguhan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan berlangsung tahun ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Naib Ketua Bahagian UPKO Kudat, Tuan Innocent Lasimbang, yang juga memegang jawatan sebagai Ketua Jentera Pilihanraya UPKO N2 Bengkoka.
Beliau menekankan kepentingan penyelarasan dan kesiapsiagaan pasukan bagi memastikan kelancaran kempen di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk pelantikan pasukan kempen di 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan N2 Bengkoka. Penyelarasan ini penting bagi memastikan setiap PDM diketuai oleh individu yang kompeten dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.
Innocent menegaskan bahawa persiapan awal adalah kunci kejayaan dalam pilihan raya.
“Kita perlu memastikan setiap PDM mempunyai pasukan yang tersusun dan bersedia menghadapi sebarang cabaran dalam PRN17. Keberkesanan jentera pilihan raya sangat bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua pihak,” katanya.
Dengan jumlah pengundi berdaftar sekitar 17,600 orang setakat tahun lalu, UPKO N2 Bengkoka mengambil pendekatan proaktif untuk mendekati pengundi secara langsung dan memahami keperluan komuniti.
Selain aspek teknikal dan logistik, mesyuarat ini turut menitikberatkan soal motivasi kepada jentera pilihan raya. Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, dalam ucapannya sebelum mesyuarat bermula, menyeru semua ahli jentera untuk bersatu hati dan berusaha gigih memastikan kemenangan parti di N2 Bengkoka.
“Kejayaan kita bergantung pada kerjasama dan kesungguhan setiap individu dalam pasukan ini. Saya yakin, dengan persediaan yang rapi dan semangat yang tinggi, kita mampu mencapai kemenangan dalam PRN17,” ujar beliau.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian UPKO Kudat yang bersama-sama memberikan pandangan dan cadangan bagi memperkukuhkan strategi kempen.
Dengan semangat solidariti yang tinggi dan perancangan strategik yang teratur, UPKO N2 Bengkoka kini berada di landasan yang tepat untuk menghadapi cabaran PRN17.
More Stories
UPKO Kota Marudu Fokus Persiapan PRN17, Mesyuarat Tritahunan Ditangguh
588 mangsa masih berlindung di 3 PPS di Beaufort
Beberapa daerah di Sabah dilanda hujan lebat petang ini