Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau kesal dan kecewa dengan maklumbalas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa kemudahan asas di Klinik Kesihatan Simpangan, Pekan Nabalu dikatakan masih dalam keadaan baik.
Jawapan itu diberikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin bagi menjawab pertanyaan Madius sama ada kementerian menyedari kekurangan klinik-klinik kesihatan luar bandar di Sabah yang serba daif termasuk Klinik Kesihatan Pekan Nabalu.
“Saya kecewa dengan jawapan yang diberikan kerana dikatakan dalam keadaan baik oleh Menteri Kesihatan sedangkan Klinik Kesihatan Simpangan sudah sekian lama tiada belakan air.
“Sumber air daripada air bawah tanah tetapi selepas kejadian gempa bumi maka bekalan air tiada sudah. Saya menyuarakan perkara ini beberapa kali di Dewan Rakyat tetapi nampaknya tiada penyelesaian.
“Oleh itu saya meminta Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah turun padang melihat sendiri keadaan bekalan air di Klinik Kesihatan Simpangan,” katanya dalam perkongsian melalui Facebook rasminya, kelmarin.
Dalam jawapan bertulis melalui pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas, Menteri Kesihatan berkata KD Simpangan di Pekan Nabalu telah dinaiktaraf kepada KK Simpangan pada tanun 2015 dan klinik berada dalam keadaan baik serta berupaya menyediakan perkidmatan kesihatan yang diperlukan oleh penduduk.
Khairy berkata, Kementerian Kesihatan mengambil maklum pelbagai kekurangan klinik-klinik kesihatan luar bandar di Sabah dan berdasarkan maklumat semasa terdapat 304 buah fasiliti klinik kesihatan dan klinik desa di seluruh Sabah.
“Daripada jumlah itu sebanyak 144 buah fasiliti atau 47.4 peratus termasuk KD Simpangan (1984) telah berusia lebih 20 tahun.
“Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), RP1, Sabah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk empat Klinik Kesihatan iaitu KK Suan Lamba, KK Matunggong, KK Meligan dan KK Dalit yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf klinik sedia ada.
“Untuk permohonan RMK-12 RP2, sebanyak RM8.75 juta telah diluluskan untuk negeri Sabah,” katanya.
Katanya lagi, pihak KKM akan terus memohon peruntukan untuk penggantian, pembaikan dan naiktaraf fasiliti dan klinik-klinik kesihatan terutamanya di luar bandar yang uzur dan daif bagi meningkatkan kesediaan fasiliti berkenaan dalam menyediakan perkhidmaan kesihatan terbaik kepada rakyat.
More Stories
Kebakaran dapur di Kedai Lama Papar hasil tindakan pantas Bomba
Labuan dikenal pasti sebagai hab global industri tuna – Zaliha
JANS digesa peka aduan gangguan bekalan, masalah tekanan air rendah