MP WARISAN : KAMI TIDAK AKAN KHIANATI MANDAT RAKYAT

KOTA KINABALU: Khabar angin mengatakan ada Ahli Parlimen (MP) daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) akan melompat dan menyokong Perikatan Nasional (PN) semakin tidak menjadi kenyataan apabila kesemua MP daripada parti berkenaan menafikan perkara itu, hari ini.

Kesemua lapan MP Warisan itu menyatakan pendirian mereka dalam satu kenyataan bersama dan berjanji tidak akan mengkhianati mandat rakyat dengan melompat parti untuk menyokong parti politik yang lain.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan sebuah media nasional dan media sosial kononnya ada empat MP Warisan termasuk seorang wanita akan berpaling tadah menyokong PN.

Antara Ahli Parlimen yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu ialah Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar), dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

“Kami dengan tegas menolak semua khabar angin yang tidak berasas itu dan ingin menjelaskan bahawa laporan dan kenyataan yang dikeluarkan adalah sama sekali tidak benar.

“Kesemua Ahli Parlimen daripada Warisan mempunyai keyakinan yang penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal, yang juga merupakan Ahli Parlimen untuk Semporna dan kami akan terus kekal berdiri teguh bersama Ketua Menteri pada waktu yang sungguh mencabar bagi negara kita hari ini,” kata kenyataan itu.

Kesemua mereka turut menyatakan bahawa fokus utama kini adalah untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing susulan cabaran yang wujud akibat pandemik Covid-19 ini.

Kenyataan itu berkata, mereka akan cuba sedaya upaya walau sedikit pun untuk menangani masalah yang timbul akibat pandemik ini, meskipun tanpa persidangan Parlimen.

“Khabar angin berunsur skandal seperti ini hanya mencerminkan keterdesakan pemerintah Perikatan Nasional untuk mendapatkan dan mempertahankan majoriti tipisnya di Parlimen sebelum sesi Julai ini di mana undi tidak percaya menanti perdana menteri sekarang.

“Perkara ini telah mencetuskan ‘perbelanjaan membeli-belah’ yang tidak beretika dari ahli Parlimen, tetapi bukan kami. Kami tidak akan mengkhianati amanah rakyat. Kami tetap berpegang teguh pada prinsip kami,” kata kenyataan itu.-http://beritasabah.com