MTI BANTU 40 SYARIKAT PRODUK PENTING TERUS BEROPERASI

Madius (tengah) mengambil gambar bersama Lai Teck Yiun (dua kiri) di hadapan Syarikat Sabah Oxygen Sdn. Turut kelihatan Mohd Hijri (dua kanan) dan Tseu Kei Yue (tepi kanan).

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah sentiasa bersedia membantu pihak industri yang menghadapi sebarang masalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sehingga semalam MTI telah berjaya membantu sebanyak 40 syarikat di Sabah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kebenaran beroperasi sepanjang PKP.

“Syarikat-syarikat ini terdiri daripada syarikat yang menghasilkan barangan penting keperluan harian terutama sekali makanan dan minuman serta produk berkaitan dengan sokongan perubatan.

“Kejayaan membantu mereka ini adalah hasil penubuhan pasukan petugas atau task force dianggotai pegawai-pegawai kanan MTI dan wakil kesatuan-kesatuan industri yang bermesyuarat setiap hari bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memaklumkan Sabah Oxygen Sdn. Bhd sebagai syarikat ke-40 yang telah menerima kebenaran beroprasi dari MITI di sini, kelmarin.

Pemakluman itu dibuat dalam satu pertemuan tertutup bersama Pengurus Besar (Operasi dan Jualan) syarikat tersebut, Lai Teck Yiun; dan turut dihadiri Pengarah MITI Wilayah Sabah, Mohd Hijri Mat Rani dan Timbalan Setiausaha Tetap MTI, Tseu Kei Yue.

Menurut Madius, MTI sentiasa bersedia memberi bimbingan dan nasihat terhadap mana-mana pihak industri yang berhadapan masalah sepanjang pelaksanaan PKP.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut memaklumkan bahawa syarikat Sabah Oxygen juga merupakan barisan hadapan yang perlu diberi perhatian kerana mereka satu-satunya syarikat yang membekalkan gas oksigen untuk tujuan perubatan di seluruh hospital di negeri ini.

“Sehubungan itu, saya juga akan menyumbang topeng hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman bagi memastikan para kakitangan yang bertugas di syarikat ini terhindar daripada dijangkiti wabak pandemik Covid-19.

“Yang kita risau, jika ada staf yang didapati positif, operasi syarikat mungkin terpaksa dihentikan dan sudah pasti akan menjejaskan pengeluaran bekalan oksigen untuk keperluan petugas kesihatan,” katanya./BERITA SABAH