Muhyiddin perlu letak jawatan, desak PH

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, perlu meletak jawatan, selepas kehilangan sokongan Umno, susulan penamatan sokongan serta merta parti berkenaan, malam tadi.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataannya, berkata Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri berdasarkan warkah ketua-ketua parti politik yang menyokong beliau, termasuk presiden UMNO, yang dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, pada 29 Februari 2020.

“Maka, apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka perdana menteri telah hilang sokongan asas parti berkenaan (Umno) dan seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Jelas sekali, Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik Perikatan Nasional (PN) daripada mempertahankan keluhuran undang-undang. Oleh itu, Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan (legitimacy) sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan bersama Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari, ini.

Malam tadi, Umno menerusi kenyataan media Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan penarikan semula sokongan terhadap Muhyiddin, serta merta dan mahu beliau meletakkan jawatan kerana dakwaan kegagalan menguruskan negara.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH berkata, parti itu akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis Covid-19 dan program vaksinasi yang lebih pantas.

“Langkah-langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui dasar-dasar yang diteliti dan diumum oleh jawatankuasa-jawatankuasa PH. Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, susulan krisis Covid-19 yang kian meruncing, Majlis Presiden PH enggan berpolitik demi jawatan dan habuan.

Majlis Presiden PH turut berpendirian bahawa waktu ini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihanraya negeri atau pilihanraya kecil memandangkan jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan.