Murid bukan warganegara saja perlu buat pengesahan dokumen sama JPN

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah memberikan jaminan bahawa semua murid dan pelajar sekolah yang berstatus warganegara tidak perlu membuat pengesahan sijil kelahiran dan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata, sebaliknya dokumen-dokumen berkenaan boleh disahkan oleh Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41 ke atas.

“Sementara itu, murid dan pelajar yang bukan warganegara perlu mendapatkan pengesahan bagi dokumen-dokumen mereka di mana-mana cawangan JPN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, keputusan itu dilakukan selepas hasil perbincangan bersama diantara pihaknya dengan JPN Negeri Sabah yang diadakan pada 13 April lalu.

Sementara itu, ketika dalam sidang media yang diadakan, Pengarah JPN Sabah Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan yang diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang mana murid dan pelajar warganegara tidak perlu membuat pengesahan dokumen pengenalan diri di JPN.

Beliau memberikan jaminan bahawa pengesahan daripada JPN hanya diperlukan bagi murid dan pelajar yang bertaraf bukan warganegara sahaja.

“Kerjasama dan sinergi seumpamanya sangat penting dalam meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pemegang taruh, termasuk ibubapa, murid dan pelajar selaku pelanggan JPN dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Sekolah) Abidin Marjan yang mewakili Mistirine dalam sidang media berkenaan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *