MYFUNDACTION SABAH AGIH BANTUAN TERAKHIR DI LAHAD DATU

LAHAD DATU: Misi Kemanusiaan Sabah yang dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan MyFundAction Sabah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lepas, berakhir  dengan pengagihan bantuan kotak Rezeki Ummat kepada asnaf di dua buah kampung dekat sini.

Pengarah Program Trio Mission Misi Kemanusiaan Sabah Razlan A Ramsah berkata sebanyak 100 kotak berisi keperluan asas seperti beras, minyak, tepung, gula, garam, kicap dan telur diagihkan kepada asnaf di Pulau Sakar dan Kampung Bumiputera.

“Seramai 45 sukarelawan berusia 17 hingga 25 tahun dari Tawau, Sandakan serta Lahad Datu menyertai misi pengagihan bantuan ini dan mereka dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Para sukarelawan ini merupakan mereka yang aktif di bawah MyFundAction Sabah dan digelar sebagai sukarelawan Youth of Strength and Happiness (YOSH),” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Razlan berkata misi berkenaan akan diteruskan tahun depan dengan sasaran bantuan lebih besar untuk disalurkan kepada golongan memerlukan setiap bulan.

“Insya-Allah pada 2021, kami para sukarelawan masih diberikan kepercayaan untuk menjayakan Misi Kemanusiaan Sabah dan akan meneruskan lagi misi ini dengan sasaran jumlah agihan yang lebih besar iaitu 500 pek Rezeki Ummat setiap bulan,” katanya.