Sebuah kapal tanker yang membawa muatan sebanyak 800,000 liter minyak diesel disita selepas gagal mengemukakan lesen borong sah tempoh di perairan Teluk Brunei, di sini, semalam.
Dalam rondaan kira-kira jam 12 tengah hari itu, kapal tanker yang didaftarkan dengan nama Yuho Maru itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM4.8 juta termasuk muatan diesel berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) WP Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan bagi mengesan sebarang salah laku aktiviti laut di Perairan Pelabuhan Labuan sehingga ke Perairan Teluk Brunei.
Katanya, operasi turut dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan.
“Dalam operasi Op Benteng Covid dan Op Inter Agensi itu, pihak PPM mengesan sebuah kapal tanker sedang bergerak di kawasan sasaran perairan.
“Hasil pemeriksaan, kapten kapal terbabit gagal mengemukakan lesen borong minyak diesel yang masih sah tempoh,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Saidul berkata, kapal berkenaan dikendalikan seorang kapten bersama lapan kru berusia dalam lingkungan 20 hingga 73 tahun.
Saidul berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ