NAIKTARAF SISTEM PERPARITAN ATASI BANJIR

TUARAN: Penaiktarafan sistem perparitan antara langkah yang diambil bagi menghadapi banjir di beberapa buah kampung di sini.

Ahli Parlimennya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sistem perparitan yang sedia tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan rumah-rumah di kawasan tanah rendah dinaiki air.

“Banjir yang melanda semalam agar luar biasa. Selain pelbagai daerah lain seperti di Penampang dan Kota Belud, di Tuaran sendiri ada beberapa kawasan termasuk di Kampung Sungai Damit yang menyaksikan sebanyak 227 buah rumah dinaiki air.

“Justeru dengan penaiktarafan sistem perparitan ini kelak akan dapat membantu para penduduk daripada ancaman banjir kilat terutama pada setiap kali hujan lebat,” katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika ditemui semasa turun padang membuat tinjauan banjir di Kampung Sungai Damit dan Kauluan, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau turut menguruskan agar bekalan air bersih disalurkan kepada penduduk di kampung berkenaan.

“Sudahlah kena banjir, mereka juga menghadapi masalah bekalan air bersih. Untuk itu, bekalan itu selewat-lewatnya hari esok.

“Saya juga dapati beberapa rumah di sini agak daif, dan ini juga kita akan ambil perhatian dalam lawatan ini,” katanya sambil memberi pesanan agar penduduk kampung sentiasa menjaga keselamatan diri termasuk memastikan anak-anak tidak dibiarkan bermain di kawasan takungan air dan tebing sungai.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mengadakan perbincangan dengan kepimpinan masyarakat agar dapat mengenal pasti lokasi pemindahan untuk penduduk yang terjejas sekiranya berlaku sesuatu bencana pada masa akan datang.

“Ini kerana bantuan daripada kerajaan akan mudah disalurkan ke pusat pemindahan seperti yang terkandung dalam Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Sementara itu, mangsa banjir yang ditemui mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Madius.

Edul Haji Mulud berkata, beliau sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang perihatin dan sanggup turun padang melihat sendiri kedaaan mangsa banjir yang terjejas.

Edul mulud

“Harapan saya, melalui kunjungan ini dapat menyelesaikan masalah banjir ini dengan membaiki sistem perparitan yang sedia ada,” katanya.

Menceritakan suasana ketika banjir, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Damit, Baini Satur berkata, perkampungan itu mulai dinaiki air pada pukul 10.30 malam.

“Rumah-rumah mulai dinaiki air pada pukul 12.30 malam. Jadi kami selaku penduduk kampung ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Madius yang sangat perihatin dan datang sendiri melihat keadaan kami di sini,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Harun Silungan secara ringkas namun penuh dengan rasa syukur melahirkan rasa terima kasih atas kehadiran Ahli Parlimen Tuaran yang disifatkannya sentiasa turun padang melihat keadaan rakyat.

Harun Silungan

“Ini adalah pemimpin perihatin yang wajar dicontohi, terima kasih Datuk Seri Madius kerana sudi melawat kami yang dalam kesusahan, dan kita harapkan penaiktarafan sistem perparitan dapat dilaksanakan segera,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *