Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan sedang melakukan pemeriksaan di pasar basah Tawau semasa operasi bersama
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU: Pasukan Polis Marin Sabah mempertingkatkan operasi membanteras aktiviti bom ikan dengan melakukan pemeriksaan bersama Jabatan Perikanan di pasar basah dan juga sekitar perairan Pantai Timur Sabah.
Operasi tersebut telah diadakan pada Julai 23 dan 24 bermula dari jam 7.30 pagi hingga 11.30 pagi di kawasan laut Indrasabah, Teluk Merotai dan pasar basah Tawau.
Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali berkata seramai 9 pegawai dan anggota Polis Marin Tawau serta dua orang Pegawai Perikanan daerah Tawau menyertai operasi yang turut melibatkan dua buah botronda Polis Marin.
“Objektif utama operasi ini adalah bagi membanteras dan mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan pengeboman ikan di kawasan laut perairan Tawau serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan berkaitan perikanan sedia ada,” kata Mohamad Pajeri.
Dalam operasi tersebut sebanyak 6 buah bagang dan 11 buah bot nelayan tradisional telah diperiksa di sekitar laut Indrasabah. Hasil keseluruhan pemeriksaan mendapati kesemua bagang serta pemilik bot nelayan mempunyai lesen dan beroperasi mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan, tambah beliau.
“Pemeriksaan yang dilakukan di pasar basah juga mendapati tiada peniaga menjual ikan-ikan yang ditangkap hasil dari aktiviti menggunakan bom ikan,” katanya.
Adalah amat penting kepada pihak kita khususnya Polis Marin untuk menghapuskan aktiviti bom ikan ini sebagai usaha kita untuk menjaga keselamatan nelayan tradisional, pelancong serta ekosistem laut negara, kata Mohamad Pajeri.
Menangkap ikan menggunakan bahan letupan adalah kesalahan yang boleh dikenakan mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (b) akta sama, memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya,” kata beliau.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ