KENINGAU: Selepas seminggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dan bayi lelaki berumur tiga bulan yang dilaporkan hilang selepas rumah kongsi dihuni mereka dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, di sini, 24 September lalu, masih belum dapat menemui kedua-dua mangsa.
Operasi mencari ditamatkan jam 4 petang tadi namun akan disambung semula jika ada maklumat terbaharu mengenai mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata operasi mencari hari ketujuh bermula jam 8 pagi tadi yang disertai sepasukan 11 anggota bomba dari BBP Sook dan BBP Nabawan serta anggota polis.
Katanya operasi mencari dilakukan dengan kaedah surface rescue atau pencarian di permukaan air sejauh 17 kilometer di sepanjang Sungai Talangkai, Sook.
Kawasan pencarian tidak mempunyai liputan telefon dan Government Integrated Radio Network (GIRN) dan terletak 110 kilometer dari BBP Sook.
Faisal berkata operasi mencari dan menyelamat membabitkan kerja menyelongkar serpihan kayu, kayu balak dan timbunan lumpur di lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah jengkaut milik Syarikat Kitam Sendirian Berhad.
Bomba juga memeriksa dan memastikan semua penghuni yang tinggal di tepi sungai telah berpindah ke kawasan lain.
Bomba telah cuba meluaskan kawasan pencarian sehingga ke Pohon Batu, Nabawan, namun keadaan jalan yang tidak berturap dan berlumpur memaksa pasukan bomba berpatah balik ke Karamatoi Ulu, Sook.
“Memandangkan operasi SAR telah genap 7 hari, oleh itu, operasi ditamatkan pada tarikh 30/09/2024 (Isnin), jam 4 petang.
Walau bagaimanapun, operasi akan disambungkan semula sekiranya terdapat maklumat yang terkini daripada pihak Syarikat Kitam Sdn Bhd atau pun penduduk kampung. Mangsa belum di jumpai,” kata Faisal.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang, 24 September lalu itu, mangsa warga Indonesia, Norsifah Asrul dan adiknya Muhd Fadli Asrul dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap-siap untuk dimandikan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata ketika itu mereka berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit tempat bapa mangsa bekerja yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai.
Katanya, tanpa disedari arus sungai atau kepala air secara tiba-tiba meluru dengan deras hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi, menyebabkan situasi bertukar huru-hara dan tidak terkawal.
Beliau, berkata sebelum kejadian itu, berlaku hujan lebat selama beberapa jam namun mangsa tidak menyangka boleh berlaku kepala air dan menyifatkan kejadian itu yang pertama di kawasan berkenaan.
“Sebelum dihanyutkan kepala air, bapa mangsa sempat meninjau di luar selepas terdengar teriakan pekerja lain di luar rumah mengatakan berlaku kejadian ‘gempa’.
“Namun, secara tiba-tiba, kepala air terus menerjah rumah mereka tetapi bapa mangsa dikatakan sempat masuk semula ke dalam rumah dan ketika itu ibu mangsa sedang memegang bayi (Muhd Fadli), manakala bapanya memegang Norsifah.
“Bagaimanapun kedua-dua mangsa terlepas dari pegangan kedua-dua ibu bapanya selepas kediaman mereka dirempuh kayu balak yang turut dihanyutkan kepala air dan banjir,” katanya seperti dilaporkan media.
Yampil berkata pakaian yang dipakai kedua-dua mangsa ketika kejadian iaitu Muhd Fadli memakai baju warna putih dan berseluar pendek warna merah jambu manakala kakaknya (Norsifah) memakai baju gaun warna putih/merah.
“Ibu bapa mangsa yang turut dihanyutkan arus deras banjir mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Keningau,” katanya.
More Stories
Tiada faedah alternatif ditawar kepada 165 pesara LPPS yang tuntut hak wang caruman RBS: Kementerian Kewangan
Dua cedera kemalangan dua lori muatan kelapa sawit di Beluran
Lima rumah teres terbakar di Lahad Datu