Orang Islam perlu lapor kepada KDN penjualan Al-Quran resam Majid

[ad_1]

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Orang Islam yang mendapati Al-Quran resam Majid masih dijual di pasaran hendaklah sentiasa tampil membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diambil tindakan selanjutnya, kata Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan kementerian, Mohd Nawardi Saad.

Versi Al-Quran berkenaan tidak diluluskan oleh KDN kerana cara pembacaan dan pencetakannya tidak sama dengan cara resam Uthmani yang dipakai di negara ini.

“Cara pembacaan dan pencetakan adalah menurut sistem lama yang digunakan di Pakistan dan India dan kita dapati Al-Quran jenis ini masih ada dengan meluas di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa hanya Al-Quran al-Karim resam Uthmani dengan kelulusan KDN sahaja boleh digunakan di negara ini, di mana ia mempunyai cop khas dalam Jawi dengan warna biru tertera perkataan ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat Al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul,” dan KDN juga memasukkan ciri baru – kod QR dan hologram.

Mohd Nawardi menambah bahawa tidak timbul masalah sekiranya seseorang itu mempunyai Al-Quran berkenaan untuk kegunaan sendiri, tetapi menjualnya kepada orang lain adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Cetak Teks Al-Quran 1986, di mana seseorang yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Beliau berkata, dalam operasi baru-baru ini di Sungai Petani, Kedah sebanyak 178 naskhah Al-Quran dirampas. KDN mendapati modus operandi dalam kalangan penjual bagi membawa Al-Quran itu dari negara jiran adalah dengan mencampurkannya dengan barang lain dan mengisytiharkannya sebagai buku agama.

Beliau berkata, bahagian beliau masih mengawasi penjual yang disyaki menjalankan perniagaan itu secara terbuka di pasaran dan dalam media sosial. KDN juga mengendalikan pemeriksaan yang kerap di pejabat Pos, kedai dan pintu sempadan untuk menangani isu berkenaan.

— BERNAMA



[ad_2]