Panel siasat KPPA langgar Perintah Am, kata peguam

Seorang peguam menuntut jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menyiasat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Shafiq Abdullah, dibubarkan segera.

Jawatankuasa berkenaan ditubuhkan selepas timbul dakwaan Shafiq mengherdik seorang pegawai imigresen, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.

Sambil menyifatkan pembentukan jawatankuasa itu sebagai “sangat janggal”, SN Nair berkata, ia juga dilihat tidak mematuhi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

Katanya, ia menyimpang daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 2022, yang lebih dikenali sebagai Perintah Am.

“Justeru, jawatankuasa itu perlu dibubarkan serta merta,” katanya kepada FMT sebagai maklum balas pelantikan Peguam Negara Idrus Harus sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Nair berkata, Idrus selaku pegawai undang-undang tertinggi di negara ini sepatutnya lebih arif.

Dalam kenyataan, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali, berkata jawatankuasa itu juga dianggotai Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Zuki berkata, jawatankuasa terbabit ditugaskan melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan yang ditimbulkan demi penyelesaian adil bagi yang terbabit.

Katanya, dapatan dan syor penyiasatan akan dibentangkan kepada perdana menteri untuk pertimbangan.

Nair mendakwa, penubuhan jawatankuasa “secara tiba-tiba” dianggap “pelanggaran jelas peruntukan Perlembagaan, justeru mencetuskan konspirasi dan prejudis terhadap Shafiq”.

Melainkan prosedur bersesuaian mengikut undang-undang sedia ada dipatuhi dan digunakan, katanya, kerajaan boleh menggunakan undang-undang dan lain-lain prosiding.

Beliau berkata, tindakan membentuk jawatankuasa dilihat tidak bertindak adil terhadap pegawai kanan awam dan menafikan hak undang-undang dan Perlembagaan dilakukan sewenang-wenangnya.

Nair berkata, prosedur Perintah Am menuntut dalam sebarang tindakan permulaan, pihak yang tidak berpuas hati perlu membuat aduan dalam bentuk bertulis kepada ketua jabatannya, di mana ketua berkenaan memajukan kepada ketua setiausaha memandangkan kedudukannya yang lebih tinggi dalam Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Jelas, ia tidak dilaksanakan, di mana pelanggaran jelas yang tidak boleh diterima.

“Lebih-lebih lagi, tindakan kerajaan berdasarkan dakwaan daripada pihak ketiga melalui kenyataan media pegawai imigresen,” katanya. “Ini sangat mengejutkan dan penuh janggal.”

Katanya, jawatankuasa ‘ad-hoc’ itu tidak mempunyai kuasa perundangan memandangkan prosedur sebaiknya tidak dipatuhi terlebih dulu.

Rabu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut ketua pengarah perkhidmatan awam membuat permohonan maaf terbuka susulan dakwaan tindakan menengking dengan kata kesat terhadap pegawai imigresen, di KLIA.

Pegawai dimaksudkan dikenali James Lee, dengan dakwaan insiden berlaku di kaunter bilik VIP.

Bagaimanapun, JPA menafikan Shafiq secara terbuka mengherdik pegawai itu dan “menegurnya” kerana atas ketidakpatuhan amalan dan prosedur kerana tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasportnya serta delegasi yang tiba.

Ketika insiden itu mendapat perhatian, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud melakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.