PCS Bersedia Meletakkan calon di DUN Kiulu pada PRU14

Oleh Wartawan Berita Sabah

KIULU : Perbincangan mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah di kalangan parti-parti pembangkang di Sabah, khususnya di antara PCS, PWS dan DAP, sedang berjalan.

Demikian dinyatakan oleh YB Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, Presiden PCS kepada para ahli dan penyokong PCS N11 Kiulu ketika berucap merasmikan pejabat PCS Bahagian N.11 Kiulu.

“Kita sudah nyatakan dengan jelas hasrat dan nekad PCS untuk meletakkan calon di Dun Kiulu kepada rakan-rakan parti pembangkang Sabah yang sehaluan dengan kita pada PRU14,” kata Bumburing.

Beliau menambahkan bahawa dengan wujudnya Pejabat Rasmi PCS yang terletak di pekan Kiulu ini maka dia melihat bahawa PCS Kiulu berada di dalam kedudukan yang lebih bersedia untuk menghadapi PRU14.

“Lokasi trategik pejabat PCS Kiulu ini membolehkan PCS dan barisan pemimpin PCS Kiulu untuk lebih mudah dihubungi oleh masyarakat Kiulu secara keseluruhan”, tambah beliau.

Di dalam taklimat kepada beliau, PCS Kiulu memaklumkan bahawa hampir semua 17 ketua-ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) di kawasan Kiulu sudah diberikan surat perlantikan dan latihan PACA (Polling Agent/Counting Agent) fasa pertama sudah dilaksanakan dan fasa kedua akan dimulakan tidak lama lagi.

Sehubungan dengan ini, kata Bumburing, “Saya boleh dengan yakin mengatakan bahawa PCS Kiulu sudah bersedia untuk menhadapi PRU14.”

Bumburing kelihatan menyerahkan Surat Perlantikan kepada salah seorang Ketua JDM

En. Sindin ranggangon, selaku Pengerusi Pengajur sedang menyampaikan cenderakenangan kepada YB Datuk Wilfred Bumburing sambil diperhatikan oleh En Gaibin Ransoi, Ketua PCS Bahagian Kiulu (kedua dari kanan) dan En. Lesaya Lopog, Ketua Unit Media Pusat PCS (kedua dari kiri)