PELAJAR PPKI SMK BAHANG TIMBA ILMU KEBOMBAAN

KOTA KINABALU: Status ‘istimewa’ bukanlah penghalang bagi pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, untuk menimba ilmu berkaitan keselamatan kebakaran.

Baru-baru ini, seramai 110 pelajar sekolah berkenaan telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan, di sini.

Sepanjang program sehari yang diadakan itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk taklimat berkaitan tugas-tugas anggota bomba yang kita sedia maklum pengorbanan mereka selama ini.

Selain itu, para pelajar turut diberi tunjuk ajar mengenai cara-cara menggunakan alat pemadam api serta cara mengendalikan hos bomba.

Lebih menarik lagi, para pelajar diberi peluang untuk menaiki jentera operasi pasukan bomba selain menguji keberanian mereka dengan menaiki kren bomba setinggi 17 meter.

Penyelaras program, Zuraidah Daud, ketika dihubungi, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan yang bukan saja sudi menerima lawatan kami tetapi juga mengalu-alukan kedatangan kami.

“Saya berharap, lawatan sambil belajar ini telah memberi ilmu dan inspirasi kepada para pelajar PPKI SMK Bahang khususnya dalam soal keselamatan kebakaran,” katanya.

Terdahulu, Zuraidah turut berterima kasih kepada penaja makanan dan minuman pelajar di program berkenaan iaitu Uncle Bob serta Euro Bakery.