Pelajar Tahun Akhir UMS Raih Anugerah Pelajar Perakaunan MIA Terbaik 2021

KOTA KINABALU, 17 Jun — Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dengan menerima pengiktirafan daripada Malaysia Institute of Accountants (MIA) menerusi Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik 2021.

Yishal Thillinadan, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) UMS menerima anugerah berkenaan sempena MIA International Accountants Conference (MIAC) 2022 yang dianjurkan secara dalam talian, baru-baru ini.

Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

Beliau ketika dihubungi meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas anugerah yang diterimanya.

“Menerima anugerah ini merupakan detik paling membanggakan dalam perjalanan pengajian saya. Saya berasa sangat bertuah menerima penghormatan ini.  

“Saya juga percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak.

“Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Yishal yang berasal dari negeri Selangor kini sedang menjalani latihan praktikal di KPMG Petaling Jaya, sebuah firma audit antarabangsa.

“Saya berharap lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam

bidang akademik serta penglibatan kokurikulum.

“Pencapaian akademik semata-mata tidak akan membawa kita pergi lebih jauh, apa yang lebih penting adalah kebolehan berkomunikasi yang mampu ditimba daripada penglibatan dalam kokurikulum dan kesukarelawan,” jelasnya.

Selain itu, UMS dalam kenyataan menjelaskan anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

Selain pengiktirafan di bawah Akta Akauntan 1967, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian UMS juga diiktiraf oleh beberapa badan perakaunan profesional termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).