Pelajar universiti patut dibenar undi pos, kata Wan Junaidi

Pelajar universiti perlu dibenarkan mengundi pos manakala undi elektronik perlu dilaksanakan di seluruh negara untuk menjimatkan kos, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata, undi pos harus dibenarkan untuk pelajar di negeri lain, dengan menyatakan bahawa ia akan menelan kos hanya untuk pulang mengundi.

“Perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah mungkin menggunakan universiti untuk melaksanakan undi pos,” katanya pada majlis di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah melaksanakan undi elektronik sejak 2005, membenarkan orang ramai membuang undi “di tepi jalan” melalui peranti khusus.

“Jika mereka boleh melakukannya, kenapa kita tidak boleh?” katanya sambil menambah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya mempunyai teknologi itu sekarang.

“Bayangkan terbang ke kawasan luar bandar dengan hanya satu peranti untuk mengambil undi. Ia akan menjadi mudah dan lebih murah memandangkan kita membelanjakan lebih RM1 bilion untuk pilihan raya,” katanya.

Wan Junaidi berkata, ini adalah cadangan yang diberikannya kepada Pengerusi SPR Azhar Harun selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan pada Mei 2018.

Katanya, beliau telah dijemput oleh Azhar untuk memberikan cadangan mengenai apa yang boleh dilaksanakan oleh SPR untuk pilihan raya.

GPS ada kata putus untuk kerusi Santubong

Ketika ditanya sama ada beliau mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada pilihan raya umum (PRU) nanti, Wan Junaidi berkata beliau menyerahkan kepada Gabungan Parti Sarawak untuk membuat kata putus.

“Saya tidak akan ulas mengenai Santubong. Saya akan biarkan GPS buat keputusan. Jika parti diam, saya juga akan diam,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan bahawa Wan Junaidi dikhabarkan tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya selama empat penggal itu sejak 2004.

Sumber dalaman berkata beliau meminta untuk tidak dicalonkan, sebaliknya mencadangkan agar partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mencalonkan setiausaha politiknya, Syed Hamzah Syed Paie.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri juga dikhabarkan akan bertanding di kerusi Wan Junaidi, dengan sumber parti berkata bekas Ahli Parlimen Batang Sadong itu adalah orang terbaik untuk membangunkan kawasan berkenaan menjadi destinasi pelancongan terkemuka.