PELAN UNTUK PULIHKAN SEKTOR PELANCONGAN DI SABAH

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah kini sedang merangka satu pelan pemulihan sektor pelancongan yang dijangka dilaksanakan seawal penghujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Christina Liew, pelan itu akan disediakan dengan kerjasama semua enam agensi di bawah kementerian berkenaan iaitu Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS), Taman-Taman Sabah (TTS), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Jabatan Muzium Sabah serta Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

Katanya, pelan berkenaan merangkumi segmen pasaran domestik dan antarabangsa.

“Dari segi pasaran antarabangsa, kerajaan menerusi STB akan menumpukan kepada pasaran mewah yang boleh memberi pulangan maksimum berbanding pasaran massa.

“Kami harap pelan pemulihan ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah dan untuk permulaan, kami akan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi menambah baik dan menaik taraf produk pelancongan sedia ada termasuk kemudahan selain kos menyelenggara fasiliti kami.

“Kami berharap dapat memulakan kerja-kerja menambah baik bangunan Pusat Kebudayaan Sabah, chalet di mata air panas Poring, Dewan Peringatan Petagas dan Taman Bukit Tawau apabila Perintah Kawalan Pergerakan berakhir,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, satu mesyuarat bersama dengan kesemua agensi di bawah kementeriannya telah diadakan pada Isnin lalu bagi membincangkan langkah-langkah terbaik untuk dimasukkan dalam pelan pemulihan sektor pelancongan berkenaan.

Katanya, setiausaha tetap kementerian, Dr Jamili Nais bersama timbalannya, Mariam Omar Matusin serta Ketua Penolong Setiausaha, Mary Malangking telah dipertanggungjawabkan untuk mengepalai penyusunan cadangan pelan bagi pelancong domestik dan antarabangsa.

Dalam mesyuarat itu juga, Pengurus Besar STB, Noredah Othman menyuarakan bahawa pemasaran secara digital lebih diutamakan ketika ini berikutan perjalanan antarabangsa untuk melaksanakan pemasaran berbentuk ‘roadshow’ telah terhenti.

Sementara itu, dalam usaha menggalakkan pelancong tempatan melawat pusat-pusat pelancongan di negeri ini, cadangan untuk memberikan diskaun 50 peratus terhadap yuran kemasukan ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Muzium Negeri dan pulau-pulau di Taman Tunku Abdul Rahman juga telah diutarakan dalam mesyuarat itu.

Selain itu, beberapa lagi cadangan turut diberikan dalam mesyuarat itu antaranya menyelenggara Pusat Pemulihan Orang Hutan di Sepilok, melaksanakan kerja-kerja penjanaan semula terumbu karang di waktu PKP ini, serta menyediakan kemudahan asas sementara seperti tandas, tempat dan tempat duduk di Taman Prince Philip, di Tanjung Aru.

“Pihak STB juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkepentingan sama ada dari dalam atau luar negara untuk bersiap sedia menyambut kedatangan pelancong di masa akan datang.

“Selain itu, STB juga akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkepentingan seperti operator pelancongan, kumpulan pelancongan, Matta, Satta dan beberapa lagi.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat itu untuk mendengar sendiri cadangan-cadangan daripada pemain industri bagaimanapun untuk melaksanakan semua usaha ini sebaik PKP berakhir,” katanya./beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *