Pelitup muka, kit ujian COVID-19 cukup di pasaran, harga berpatutan – KPDN Sabah

KOTA KINABALU: Pelitup muka, cecair sanitasi serta kit ujian COVID-19 masih cukup di pasaran, antaranya di farmasi atau pasar raya, serta dijual pada harga berpatutan di Sabah walaupun permintaan barangan itu meningkat baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata setakat ini pihaknya tiada menerima sebarang aduan ataupun laporan berhubung kenaikan harga atau kekurangan bekalan barangan tersebut di pasaran.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dilakukan pihaknya, beberapa premis farmasi di sini memaklumkan permintaan kit ujian COVID-19 ada berlaku sedikit peningkatan tetapi bekalan untuk menampung permintaan itu masih mencukupi.

“Pihak farmasi sentiasa menambah stok bekalan daripada pembekalan untuk menampung permintaan yang akan dijangka meningkat. Keadaan di pasaran juga tidak berlaku pembelian panik daripada pengguna,” katanya menerusi kenyataan di sini, Rabu malam.

Pada 18 Dis, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes COVID-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Dis adalah sebanyak 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49.

— BERNAMA