PEMBERSIHAN DAN DISINFEKSI DI TAMAN HARMONI

SANDAKAN: Parlimen Sandakan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melakukan pembersihan dan disinfeksi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, di sini.

Menerusi kerjasama itu, Parlimen Sandakan mengedarkan 900 gelen cecair pembasmi kepada penduduk taman berkenaan serta menyumbangkan lima mesin penyembur kepada bomba untuk melaksanakan pembersihan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata langkah itu diambil kerana taman itu merekodkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di daerah ini, selain prihatin dengan nasib penduduk yang terdedah kepada wabak terbabit.

“Bomba akan menjalankan proses pembersihan di kawasan awam Taman Harmoni, manakala untuk dalam kawasan rumah, kita perlu kerjasama penghuni melakukannya sendiri.

“Kita berharap semua penghuni mengambil masa ini untuk bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas proses penyampaian sumbangan itu di sini, hari ini.

Pada program itu, Vivian turut menyumbangkan beberapa peralatan termasuk kanopi kepada anggota polis yang melakukan penugasan mengawal pergerakan penduduk di taman itu.

Sejak Sabtu lalu, penghuni PPR itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan selepas ia dikategorikan sebagai zon merah dengan lima kes positif Covid-19 dikesan.

Tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di taman itu.

Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Martin Thomas, berkata kerja pembersihan itu yang bermula hari ini membabitkan sembilan anggota dengan semburan kabus dilaksanakan secara manual di 10 blok taman berkenaan./BERITA SABAH