PEMBINAAN KUARTERS PEKERJA ASING SEDANG DIKAJI KERAJAAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji langkah mewujudkan kuarters untuk pekerja asing bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 di tapak pembinaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya sedang berunding dengan beberapa kementerian lain dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Kadang kala, ada pekerja asing duduk di bangunan yang baru siap dibina, jadi kita tidak mahu situasi ini berlaku lagi. “Sebelum ini, berlaku penularan di tapak pembinaan Pavilion Embassy ketika gelombang kedua dan kini berlaku lagi sehingga wujudnya kluster tapak binaan Damanlela,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Annuar berkata keadaan itu sekali gus membuktikan tempat tinggal buruh asing yang tidak memenuhi piawaian dan syarat boleh mendatangkan bahaya sehingga membawa kepada penularan wabak tersebut. “Oleh itu, kita akan lihat apakah kaedah yang boleh dipakai termasuk mengadakan tempat tinggal berpusat bagi pekerja asing ini.

“Mereka (kontraktor) yang menggunakan khidmat pekerja asing perlu memastikan mereka bebas wabak itu sebelum dibawa masuk dan mempunyai tempat tinggal yang diluluskan,” katanya.

Sehingga 18 Nov, sejumlah 3,128 pekerja di kawasan tapak binaan melibatkan Kluster Damanlela di Kuala Lumpur dan Selangor telah disaring dan merekodkan 1,346 kes positif.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata belum terdapat keperluan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana Kementerian Kesihatan sudah menyaring kesemua pekerja asing terbabit manakala dua tapak pembinaan berkaitan telah ditutup. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *