PEMERGIAN AMMAN SIROM SATU KEHILANGAN BESAR BUAT MASYARAKAT MOMOGUN

KOTA KINABALU: Ketua Bobolion kaum Dusun Tindal dari Kampung Bangkahak, Kota Belud, Tindarama Amman Sirom Simbuna dilaporkan telah meninggal dunia, di sini, kelmarin.

Berita mengenai pemergian Amman Sirom menjadi viral di media sosial dengan kebanyakan netizen menyatakan rasa simpati mereka selain rasa kagum dengan apa yang pernah dilakukan Amman Sirom, sebelum ini.

Difahamkan, Amman Sirom meninggal dunia kira-kira jam 10.40 pagi kelmarin di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Beliau yang dianggap sebagai ketua Bobolion di negeri pernah mengetuai upacara ritual korban di kaki Gunung Kinabalu selepas kejadian gempa bumi yang melanda pada 5 Jun 2015.

“Nama Amman Sirom cukup sinonim dengan masyarakat Momogun terutama dalam kalangan pengamal serta ketua-ketua adat.
Sama ada kita percaya atau pun tidak, ilmu dan anugerah istimewa yang beliau miliki terbukti saban kali dan diakui sah oleh ribuan orang.

“Amman Sirom memang di kelas dia yang tersendiri. Pemergiannya satu kehilangan kepada masyarakat Momogun dan khazanah budaya kita semua. Mari bisik doa untuk beliau dan semua yang sudah mendahului kita,” kata Albert Bingkasan, Ketua Penerangan UPKO merangkap Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Antara pemimpin lain yang turut meluahkan rasa simpati mereka di atas pemergian Amman Sirom ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

“Kami sekeluarga merasa amat sedih mendengar khabar pemergian Tindarama Amman Sirom, Ketua Adat dan Bobolian OAS…lebih lebih lagi kerana beliau adalah kawan rapat pengamal Adat kita.

“Beliau tdk sempat melihat pelaksanaan balai Adat yg akan kita diri kan berhampiran Dewan kg Bangkahak seperti mna yg beliau inginkan… tetapi ianya akan tetap dibina sebagai tanda Peringatan beliau dan Kita akan namakan Balai Adat itu ‘Baloi Adat Tindarama Ammann Sirom Simbuna’.

“Semoga roh beliau diberikan tempat estirihat yg estimewah oleh Maha Pencipta Kinorohingan Amen, Takziah kpda Amman Nijon dan seluruh keluarga Tindarama Amman Sirom,” katanya menerusi Facebook beliau.

Seorang lagi netizen menerusi akaun Facebook yang bernama Jiliah Situn berkata, mungkin ramai yang kurang sedar erti kehilangan besar Amman Sirom, bukan saja dalam dunia Bobolian tetapi juga dalam dunia kehidupan seharian warga KadazanDusun Murut dan Rungus (KDMR).

“Mendiang merupakan lambang tertinggi dan terakhir mewakili cara hidup kita yg dahulu. Intipati (erti dan tujuan) budaya, adat dan kepercayaan tradisional kita dahulu bukan hanya satu kisah semata mata tetapi merupakan satu sistem yang terancang serta tersusun yg tlh memastikan kewujudan kita hari ini.

“Tanpa sistem kehidupan itu, kita sudah lama punah di muka bumi ini dan tidak akan pernah mengenali Tuhan atau agama yg kita anuti hari ini.

“Oleh itu, marilah kita semua sedekahkan sekalung doa untuk mendiang sebagai tanda hormat kita kepada mendiang dan terima kasih kita kepada moyang-moyang kita yang terdahulu,” katanya.-http://beritasabah.com