PENAMPANG – Seramai 32 peserta profesional dan amatur mengambil bahagian dalam Pertandingan Permainan Dam di Dewan Raya Kampung Mahandoi di sini, pada Sabtu.
Program anjuran Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang bersama kerjasama Persatuan Kebajikan Komuniti Moyog Penampang bukan hanya mendapat sambutan masyarakat tempatan sebaliknya turut menarik minat peserta daripada pelbagai daerah lain termasuk Putatan dan Kota Kinabalu.
Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic berkata, pertandingan itu turut disertai golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) selain peserta-peserta profesional yang pernah mewakili Negeri Sabah.
“Program ini sesuai bagi mempromosikan budaya hidup sihat di kalangan golongan muda selain dapat membantu mempromosikan Kampung Mahandoi Penampang.”
“Kita juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun 2024, antaranya Pertandingan Open Double Dart Challenge yang akan berlangsung pada 20 dan 21 April ini di Dewan Sigah Kampung Tuavon, Penampang.” katanya
Pertandingan tersebut menyaksikan tempat pertama dimenangi Saifullah Al Munshi dengan meraih hadiah wang tunai bernilai RM500.
Awang Sahrun Juna pula mucul sebagai naib juara sekali gus menerima wang tunai RM 250.
Tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Myzos Majanting dan Gerard Tom. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM150 dan RM100.
Kesemua peserta turut menerima sebuah set permainan Dam sebagai hadiah saguhati.
Hadir sama, Ketua Bahagian UPKO Penampang merangkap Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald P. Mojuntin dan Timbalan Ketua Bahagian UPKO Penampang, Carl V. Mosom.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ