PEMUDA UPKO TUARAN SIAP SEDIA HADAPI PRN

TUARAN: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tuaran sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kata Ketua Pemudanya, Charles Jauti.

Katanya, persiapan bagi menghadapi pilihan raya ini sebenarnya sudah pun dimulakan sebelum Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada Khamis.

“Pemuda UPKO Tuaran sudah berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi.

“Persiapan kita sudah bermula lebih awal lagi. Kita tidak fokus kepada apa yang pembangkang buat, kita bersama parti cuma fokus kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pemuda UPKO Tuaran hari ini.

Charles yang juga Naib Ketua III Pemuda UPKO Malaysia turut mengharapkan agar calon-calon yang diketengahkan dalam PRN kali ini turut merangkumi wakil daripada kalangan belia.

“Kita mahu dalam pucuk kepimpinan negeri nanti lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri yang boleh membawa dan memperjuangkan suara para belia.

“Namun, siapa pun nanti yang akan dicalonkan, kita akan terus berjuang bersama seluruh ahli dan kepimpinan parti untuk memastikan kejayaan dalam PRN kali ini,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *