PENANAMAN VANILA MAMPU LAHIR RAMAI USAHAWAN BAHARU

KOTA KINABALU: Mampu menjana pendapatan tinggi menjadikan penanaman vanila berpotensi merancakkan pembangunan ekonomi dengan melahirkan lebih ramai usahawan baharu di Sabah, terutamanya di luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata vanila juga mempunyai pasaran yang luas kerana permintaannya yang tinggi, bukan saja di pasaran tempatan malah di pasaran antarabangsa.

”Vanilla boleh dijadikan sebagai salah satu bahan perisa utama bagi juadah makanan atau hidangan pencuci mulut dan secara tidak langsung ia mempunyai pasaran yang amat tinggi.

”Tanaman Vanilla mungkin masih baru bagi segelintir masyarakat di Sabah kerana penanamannya yang masih belum meluas namun ia sebenarnya satu tanaman yang menguntungkan kerana mempunyai potensi yang luas untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perasmian Kursus, Bengkel dan Praktikal Penanaman dan Peluang Perniagaan Vanilla di JBorneo Native Village, Putatan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya Carlye Lajimin.

Turut hadir, Naib Presiden UPKO Datuk Gilbert Sham, Ketua Pemuda Pusat Felix Joseph Saang dan Ketua Wanita Datin Juliana Jani serta ahli majlis tertinggi UPKO Pusat.

Ewon berkata, kursus dan bengkel pada hari ini akan membuka mata lebih ramai usahawan bahawa penanaman vanilla di negeri Sabah mampu menjana ekonomi dan membina masyarakat maju.

Katanya, secara tidak langsung ia akan menambahkan lebih ramai pihak mengambil bahagian dalam membantu pembangunan ekonomi negeri Sabah.

”Kita beruntung kerana pada hari ini, kita dapat bersama –sama dengan seorang pengusaha tempatan, My Kebun Vanilla Kinarut iaitu Leo Komuji yang akan menerangkan teknik dan kaedah penanaman tanaman vanilla.

”Saya percaya dengan latar belakang beliau selama 13 tahun dalam bidang ini akan membantu memberi kefahaman kepada setiap peserta mengenai kaedah penanaman Vanilla,” katanya.

Ewon berkata, dalam keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu ketika kini, kita sedar ramai anak-anak muda terpaksa kehilangan pekerjaan.

”Oleh demikian, saya berharap setiap peserta dan bakal usahawan dapat merebut peluang ini untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai penanaman dan pasaran Vanilla.

”Saya yakin program ini akan menjadi satu loncatan kepada para peserta meningkatkan keupayaan penanaman seterusnya memulakan perniagaan dalam bidang penanaman vanilla pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi dan Keusahawanan UPKO Datuk Gilbert Sham berkata, penganjuran kursus ini akan memberi manfaat yang amat baik kepada pesertanya.

Katanya, ia adalah salah satu peluang kepada ahli UPKO untuk meningkat ekonomi sebagai punca pendapatan sambilan atau tetap.

”Dalam keadaan ekonomi masa kini terutamanya ketika penularan pandemik Covid-19, umum mengetahui banyak pihak terutamanya majikan berdepan kegagalan ataupun kerugian sehingga terpaksa mengurangkan pekerja.

”Maka ia adalah salah satu peluang untuk membantu meningkatkan ekonomi kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Gilbert berkata, beliau amat berterima kasih kepada Datuk Ewon kerana menyumbang untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

”Begitu juga dengan Barisan Ahli Majlis Tertinggi UPKO terutamanya Presiden Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menyokong penuh program hari ini,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *