Pencapaian menoktahkan miskin tegar pada Julai lalu meragukan

KOTA KINABALU: UMNO Sabah meragui kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pencapaian sasaran menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini yang dikatakan dicapai pada akhir Julai lalu.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata kenyataan itu meragukan memandangkan rakyat di lapan daerah yang diketegorikan termiskin di Sabah, masih bergelut dengan kemiskinan.

“Ini tidak termasuk di lain-lain daerah yang tidak disenaraikan, ada rakyat yang terlepas pandang dan berada di bawah garis kemiskinan tegar.

“Jadi apabila melihat pengumuman seperti ini memang agak luar biasa pencapaiannya namun apa yang kita bimbangkan, ia sekadar retorik di atas kertas saja bagi menyedapkan mata dan telinga rakyat mendengar sedangkan realitinya jauh berbeza,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai pencapaian sifar miskin tegar itu yang disebutnya ketika di Kota Marudu, semalam.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran, berkata kenyataan itu perlu disokong dengan data yang tepat dan ditunjukkan kepada umum untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Sabah.

Jelasnya, jika kenyataan itu benar berdasarkan kepada data, rakyat di negeri ini pasti kagum dengan pencapaian drastik kerajaan negeri kerana dalam tempoh yang singkat dapat mengeluarkan rakyat Sabah daripada garis kemiskinan tegar.

“Jika isu kemiskinan sudah diselasaikan, satu lagi harapan rakyat ialah kerajaan juga perlu mengambil tindakan drastik dalam menyelasaikan masalah insfrastruktur asas bekalan air bersih, sistem perhubungan jalan raya, bekalan air, elektrik dan pengganguran di negeri ini,” katanya.

Suhaimi berkata penyelasaian secara total kepada isu prasarana perlu disegerakan kerana ia berhubung kait dengan kepentingan rakyat yang berharap dapat menikmati kemudahan asas jalan raya, air dan elektrik yang lengkap.

Katanya, ia bagi memudahkan rakyat berniaga atau memasarkan hasil pertanian sekali gus membantu mereka mengeluarkan diri daripara garis kemiskinan tegar. – Info X