TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Bahagia II, Tamparuli sejak 20 April lalu, memasuki hari ketiga hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, operasi hari ketiga bermula seawal jam 9.00 pagi dan melibatkan 11 anggota BBP Tuaran bersama pasukan khas dari Unit K9, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta pasukan drone JBPM Sabah.

“Pencarian dijalankan secara intensif dengan pembahagian kepada empat sektor pencarian meliputi kawasan darat dan sungai.
“Pasukan PPDA turut menjalankan pencarian di kawasan sungai menggunakan bot, manakala bantuan anjing pengesan K9 digunakan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Tambahnya, operasi pencarian mangsa juga ditumpu di bahagian bawah Jambatan Tamparuli oleh pasukan PPDA Bomba dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Turut terbabit dalam operasi ini ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan dron D’Bayu, serta NGO Jalinan Kasih.
Terdahulu, mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf dikatakan dilihat kali terakhir sekitar jam 1.30 tengah hari sebelum dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.
Operasi pencarian yang dijalankan pasukan bomba turut menggunakan unit anjing pengesan K9 selain dibantu penduduk kampung. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ