Pencarian waris seorang budak usia empat tahun

TELUPID, 25 Mei — Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Tongod sedang mencari waris seorang budak lelaki, yang dikenali sebagai Evan Rhodes (gambar), dan kini dianggarkan berusia empat tahun.

Penjaga pejabat itu, Arnold Gongora berkata, aduan berhubung usaha mencari waris atau keluarga kanak-kanak itu telah diterima daripada seorang wanita.

Beliau berkata pengadu menyatakan bahawa kanak-kanak itu diserahkan ibunya yang juga jiran ketika pengadu berada di kediamannya di Taman Chrysethemum, di Sandakan pada 6 Okt 2020 ketika kanak-kanak itu berusia dua tahun.

“Ibu yang dikenali sebagai Mary meminta pengadu menjaga anaknya kerana katanya ada perkara yang perlu diselesaikan di Tamparuli dan akan mengambil semula anaknya selepas perkara itu selesai.

“Namun, sehingga kini ibu kepada kanak-kanak itu tidak muncul. Pengadu juga telah cuba menghubunginya berulang kali tetapi tidak berjaya.

“Laporan polis juga telah dibuat oleh pengadu sebagai penjaga sementara kanak-kanak itu, pada Mac tahun ini di balai polis Beluran untuk rujukan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Arnold berkata mereka yang mengenali waris kanak-kanak itu, boleh menghubungi pejabat di talian 089-521150 atau 087-748837 untuk menyalurkan maklumat.