Penduduk Pulau Keniogan Bakal Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam

BELURAN: Lebih 1,200 penduduk di Pulau Keniogan, di sini, kini mampu menikmati bekalan elektrik sehingga 18 jam sehari berbanding hanya 12 jam sebelum ini hasil inisiatif terbaharu oleh Sabah Electricity.

Malah, pulau terpencil yang selama ini tidak menikmati bekalan elektrik pada waktu siang, kini semakin hampir menikmati bekalan 24 jam sepenuhnya.

Ketua Pegawai Operasinya, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, Pulau Keniogan merupakan salah satu daripada tiga pulau di Sabah yang mempunyai stesen janakuasa diesel sendiri.

Katanya, sebelum ini, kira-kira 200 buah rumah di pulau berkenaan hanya menerima bekalan elektrik selama 12 jam sehari, iaitu dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

“Kita telah menghantar satu generator kuasa baharu yang lebih cekap ke Pulau Keniogan supaya dapat membekalkan bekalan yang lebih berdaya harap.

“Ini adalah salah satu matlamat jangka panjang Sabah Electricity untuk memastikan penduduk di negeri ini untuk menerima perkhidmatan terbaik,” katanya.

Sementara itu, bagi Lokman Madlis, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Pulau Keniogan, kemudahan elektrik membawa perubahan ketara kepada taraf hidup penduduk.

“Syukur Alhamdulillah, sekarang sudah macam hidup di bandar. Penduduk ada penyaman udara, astro, peti sejuk dan peti sejuk beku. Penting untuk simpan hasil laut,” katanya.

Manakalq bagi, wakil JKK Kampung Keniogan, Kamarzaman Marof berkata, bekalan 24 jam sangat diperlukan oleh komuniti nelayan.

“Ais batu sangat penting bagi kami. Tanpa bekalan elektrik berterusan, hasil laut mudah rosak dan menjejaskan pendapatan,” ujarnya.

Untuk rekod, projek jangka panjang kini sedang dirancang, termasuk pemasangan sistem solar hibrid dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebagai langkah ke arah tenaga bersih dan mampan untuk komuniti luar bandar.