PENERBANGAN DARI CHINA DIGANTUNG

Oleh Willie Jude
30 Januari 2020

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membuat keputusan untuk menghentikan semua penerbangan daripada China ke Sabah buat sementara waktu, bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, keputusan itu dibuat demi kebaikan rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penggantungan penerbangan itu hanya sementara dan operasi akan dibuka semula seperti biasa sebaik keadaan kembali normal.

“Walaupun tindakan ini memang akan memberi impak (tidak baik) kepada industri pelancongan Sabah, Kerajaan lebih pentingkan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah.

“Kita mahu elakkan risiko rakyat kita terdedah kepada jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, keputusan yang dicapai kerajaan itu bukanlah mudah malah ia pastinya tidak akan disambut baik oleh pengusaha pelancongan Sabah.

“Bagaimanapun, kerajaan berpendapat ianya adalah satu keputusan yang perlu dibuat memandangkan perkembangan jangkitan novel coronavirus ini tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan keputusan kerajaan negeri itu kepada semua syarikat penerbangan yang membuat penerbangan China ke Kota Kinabalu.

Christina berkata Kerajaan Negara China juga telah mengarahkan rakyatnya di Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin dan Guangzhou supaya jangan keluar negara.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri sedang memantau rapi keadaan semasa.

“Walaupun belum lagi terdapat kes positif di Sabah, kita haruslah sentiasa berhati-hati dan utamakan kebersihan diri.

“Kita juga harus senantiasa peka kepada perkembangan dan berita mengenai hal ini daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

“Tolong jangan sebarkan berita palsu atau maklumat berkenaan novel coronavirus yang didapati melalui sumber tidak sahih,” katanya.