PENERBANGAN IHSAN HANTAR ANGGOTA ALAMI ANGIN AHMAR

SANDAKAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran hari ini melakukan penerbangan ihsan untuk membawa seorang anggotanya yang mengalami angin ahmar ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

Lans Koperal Mohamad Syazwan Othman, 28, yang disahkan mengalami angin ahmar pada usia muda oleh doktor pakar di Hospital Duchess of Kent pada awal bulan ini adalah anggota infantri di Batalion 20 PGA Beluran.

Gunakan pesawat King Air PDRM

Beliau dihantar menggunakan pesawat King Air Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah pada jam 9 pagi, hari ini.

Pegawai Memerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata penerbangan ihsan dilakukan susulan kesukaran dihadapi Mohamad Syazwan yang tidak mempunyai saudara mara di daerah ini.

Sebelum ini, katanya, pihaknya mengurus penggiliran menjaga anggota terbabit.

“Susulan kesukaran ini, saya memohon kebenaran bagi melakukan penerbangan ihsan membawa pulang anggota ini ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah bagi membolehkan Mohamad Syazwan dijaga keluarganya.

“Ia diluluskan segera oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan akhirnya penerbangan ihsan ini dapat direalisasikan,” katanya dalam satu majlis ringkas di Lapangan Terbang Sandakan, hari ini.

Kumpul derma bantu Mohamad Syazwan

Mohd Nasaruddin berkata, sebanyak RM8,500 derma kilat daripada kalangan pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Mohamad Syazwan.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat menampung segala perbelanjaan sepanjang proses penghantaran pulang serta meringankan beban keluarga anggota untuk membuat rawatan susulan.

“Saya amat bersimpati dengan keadaan yang dihadapi anggota ini dan akan sentiasa berusaha
untuk memastikan kebajikan anggota ini serta mana-mana pegawai dan anggota saya terjaga pada masa akan datang,” katanya.

Penerbangan ihsan itu diketuai juruterbang, Jimmy Roy dari Pasukan Gerakan Udara PDRM, manakala Mohamad Syazwan turut diiringi Pegawai Platun, Inspektor Mohd Nazrin Shah Zulhakim sehingga ke kampungnya.- http://beritasabah.com