PENERIMA VAKSIN COVID-19 PERLU TERUS PATUH SOP

Individu yang bakal menerima Vaksin COVID-19 kelak masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun selepas menerima dua dos suntikan tersebut.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Mohd Nazri Mohd Daud berkata, ini penting untuk menjamin keselamatan diri dan orang sekeliling.

“Vaksin yang disuntik adalah bagi mengaktifkan sistem imuniti dalam badan untuk melawan atau mencegah penyakit, sekali gus mampu membendung penularan penyakit.

“Walaupun data ujian klinikal menyatakan hampir 95% keberkesanan vaksin tersebut terhadap virus COVID-19, namun adalah lebih baik sekiranya SOP terus dipatuhi kerana virus COVID-19 sesuatu yang baru dan kompleks, dan masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan topik “Vaksin COVID-19” dalam Siri Pendidikan dan Kesihatan COVID-19 yang disiarkan secara dalam talian langsung melalui laman Facebook rasmi UMS.Official dan saluran YouTube UMS.Net baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, kata Nazri masyarakat terutama golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 amat digalakkan untuk mengambil vaksin COVID-19 apabila vaksin tersebut boleh didapati di Malaysia kelak.

Nazri

“Walaupun penghasilan vaksin dalam tempoh singkat, vaksin yang diperoleh dari syarikat seperti Pfizer dan BioNTech telah menjalani ujian pra-klinikal dan tiga fasa klinikal dan hasil pengumpulan data menunjukkan keberkesanan yang tinggi terhadap vaksin tersebut.

“Vaksin ini perlu kerana sekiranya tiada vaksin masyarakat akan hidup dalam situasi pandemik dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Ujar Nazri, empat kategori golongan yang perlu diutamakan bagi pengambilan vaksin, iaitu petugas barisan hadapan, warga emas, individu yang mempunyai sejarah penyakit-penyakit tertentu seperti penyakit kronik, kencing manis dan sebagainya, dan mereka yang memerlukan lebih perlindungan seperti ibu mengandung atau ibu yang menyusukan anak.

Siri Pendidikan dan Kesihatan COVID-19 UMS yang dikendalikan Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr. Fatimah Ahmedy merupakan inisiatif Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 dengan kerjasama Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat sebagai platform perkongsian informasi oleh pakar-pakar perubatan UMS kepada masyarakat.