Pengagihan komputer riba di bawah inisiatif CERDIK berat sebelah, tidak adil: Chan

Pengagihan komputer riba dan peranti di bawah inisiatif CERDIK berat sebelah mengikut keperluan politik, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Chan yang juga Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah berkata, beliau kecewa dengan kelewatan pengagihan komputer riba dan peranti di bawah inisiatif CERDIK.

“CERDIK merupakan inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bertujuan untuk menyediakan akses digital yang terdiri daripada komputer riba, tablet, dan sambungan data bernilai RM150 juta kepada sekurang-kurangnya 150,000 murid sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) semasa pandemik Covid-19.

“Namun demikian, inisiatif ini nampaknya mungkin gagal mencapai matlamat atas sebab-sebab tertentu termasuk kelewatan mengagihkan laptop tersebut dan terdapat ketidakseimbangan ataupun berat sebelah dalam pengagihan komputer riba atau peranti tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Chan berkata, sebanyak 262 komputer riba atau peranti akan diagihkan kepada dua sekolah di kawasan Parlimen Kota Kinabalu.

Menurut jawapan daripada Menteri Pendidikan, sehingga 25 September, 33,264 unit komputer riba dan peranti belum lagi diagihkan kepada penerima.

“Kini sudah Oktober, tetapi 262 komputer riba dan peranti bagi kawasan parlimen saya masih lagi berstatus “akan agih”. Ini menunjukkan kelewatan yang sangat melampau.

“Terdapat 25 sekolah di Kota Kinabalu, dan mengapa hanya murid-murid daripada dua buah sekolah sahaja yang akan diberikan komputer riba atau peranti ini? Adakah ianya sebab saya bukan penyokong kerajaan,” jelasnya.

Selain itu, kawasan-kawasan Parlimen pembangkang lain yang masih belum menerima komputer riba atau peranti yang bersatus “akan agih” adalah Kota Melaka (93), Seputeh (63), Bukti Bendera (57), Cheras (45), dan Bukit Bintang (12).

“Ketidakseimbangan ini juga boleh dilihat hanya dengan membandingkan jumlah komputer riba atau peranti yang diperuntukkan bagi kawasan-kawasan parlimen tersebut dengan kawasan parlimen yang lain seperti Sepanggar (2,060), Silam (2,510), Semporna (1,831), dan Sepang (1642), Sungai Buloh (1352) dan Hulu Selangor (1276).

“Adakah kerusi-kerusi yang kini disandang ahli parlimen parti pembangkang merupakan sasaran parti pemerintah dalam PRU nanti?

“Di kawasan parlimen Tuaran (500), difahamkan bahawa sekolah menengah di kawasan DUN Sulaman – kawasan Ketua Menteri Sabah, telah diberikan keutamaan dan diagihkan terlebih dahulu. Ini tidak adil.

“Sekiranya terdapat 222 kawasan parlimen dan 150,000 komputer riba atau peranti untuk diagihkan, maka secara purata setiap kawasan Parlimen harus menerima 675 komputer riba atau peranti. Ini membangkitkan persoalan sama ada inisiatif CERDIK telahpun di “hijack” oleh pihak-pihak tertentu bagi tujuan mendapatkan keuntungan politik,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ini juga menunjukkan bahawa mungkin terdapat penyalahgunaan kuasa dalam penentuan pengagihan komputer riba atau peranti dalam inisiatif CERDIK.

“Saya memohon agar kerajaan menjelaskan mengapakah berlakunya ketidakseimbangan pengagihan ini, dan apakah kriteria serta kelayakan untuk mendapatkan komputer riba dan peranti ini.

“Saya juga menggesa agar kerajaan bertindak adil dalam pengagihan komputer riba supaya keadaan berat sebelah tidak berulang,” katanya. – Nabalu News