PENGAMAL MEDIA SERONOK SERTAI PROGRAM RAMA, MESRA, MENCARI HARTA KARUN REPSOL-MEDIA SABAH

Para peserta (pengamal media) mencari harta karun Respol-Media bergambar kenangan bersama Datuk Eddie Abdullah (berdiri tengah) serta jawatankuasa penganjur

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Seramai 55 orang pengamal media di negeri Sabah menyertai program rama mesra dan mencari harta karun Rapsol-Media Sabah, kelmarin.

Para peserta dibahagikan kepada 14 kumpulan dengan menaiki 14 buah kereta untuk bersaing mencari harta karun di sekitar Kota Kinabalu, Lido dan Kapayan, Penampang.

Majlis pelepasan program itu disempurnakan oleh  Penasihat Perhubungan Kerajaan dan Komuniti untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Eddie Abdullah.

JUARA…Pasukan kumpulan 1, terdiri Datuk Muguntan Vanar (kiri) , Nancy Lai (2 dari kiri) dan Julia Chan (kanan) menerima hadiah daripada Datuk Eddie Abdullah (2 dari kanan).

Tahun ini adalah kali ketiga Repsol atau Repsol Oil & Gas Malaysia Limited menganjurkan majlis rama mesra bersama pengamal media di Sabah, bertujuan untuk membina dan mengukuhkan rangkaian dan hubungan baik kedua-dua pihak.

“Bagi pihak Repsol Malaysia, saya sangat gembira melihat sambutan yang menggalakkan dari pengamal media Sabah hari ini,” kata Eddie.

Beliau berkata, konsep majlis rama mesra pada tahun ini telah diubah sedikit dengan memperkenalkan program mencari harta karun menggunakan kereta.

“Adalah diharapkan para peserta dapat menguji kemahiran mereka secara maksima, serta mempunyai keseronokan dan kegembiraan memburu harta karun dengan petunjuk dan teka-teki di sepanjang laluan,” katanya.

Program mencari harta karun itu, dikendalikan oleh Gary Guna Sager, yang kemudinnya mengumumkan para pemenang, dimana pasukan kumpulan 1 (terdiri tiga peserta iaitu presiden SJA Datuk Muguntan Vanar, Nancy Lai dan Julia Chan menjuarai pertandingan itu, dengan membawa pulang hadiah berupa bucer RM1,000.00 dan sebuah piala pusingan.

Sementara itu, Eddie memberitahu bahawa perniagaan Repsol di Malaysia hanya memfokuskan kepada sektor hiliran industri minyak dan gas.

“Kami adalah kontraktor PETRONAS dan rakan niaga PETRONAS Carigali Sdn Bhd di luar pesisir Terengganu dan perairan Sabah. Bagi Repsol, Malaysia dan Sabah kekal sebagai tempat yang menarik untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Eddie berkata, walaupun Repsol memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan di Malaysia, syarikat itu juga akan memberi balik kepada komuniti tempatan dimana ia beroperasi.

Katanya, syarikat itu mengambil tanggungjawab sebagai warga korporat yang baik yang serius, dan secara aktif menganjurkan program dan aktiviti yang menggalakkan perubahan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan dengan agensi-agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGOS) di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

Katanya, program pelaburan sosial syarikat itu memberi tumpuan kepada empat tema iaitu pendidikan, keselamatan, kesihatan dan pembangunan kapasiti, dengan matlamat utama untuk memberi manfaat kepada pihak berkepentingan yang berpengalaman. 

“Sebagai contoh kempen keselamatan `Let’s Be Safe’ telah memberi manfaat lebih daripada 9,500 pelajar sekolah rendah di Sabah sejak dimulakan pada 2013,” katanya.

Selain itu katanya, lebih 300 pelajar daripada sekolah rendah dan menengah telah mengambil bahagian dalam kem kesejahteraan alam sekitar sejak 2014, dimana program itu bertujuan untuk menanam dan memupuk generasi muda mengenai kepentingan memulihara dan melindungi alam sekitar.

“Untuk rekod, Repsol telah memenangi gelaran kategori organisasi untuk Anugerah Pengiktirafan Alam Sekitar Sabah 2019,” katanya.

Eddie berkata, Repsol juga telah menaja lebih daripada 20 mahasiswa dari Universiti  Malaysia Sabah (UMS) untuk membolehkan mereka meneruskan kursus kejuruteraan di bawah bidang pendidikan Repsol.

Katanya, satu lagi komitmen Repsol terhadap pendidikan adalah anugerah motivasi tahunan dalam bentuk bantuan tunai sekali untuk kanak-kanak kurang bernasib baik dari kalangan masyarakat nelayan di Sabah dan Labuan yang berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PT3.

Katanya, program anugerah itu dilancarkan pada tahun 2014 untuk merangsang penerima daripada komuniti nelayan dan membimbing mereka mencapai pencapaian akademik yang lebih tinggi.

Dalam bidang kesihatan, katanya, syarikat itu telah bekerjasama dengan Pertubuhan Thalassemia Sabah dan Jabatan Kesihatan untuk mengadakan seminar kesedaran dan seminar gaya hidup sihat di kalangan pesakit Thalassemia, ahli keluarga dan juga orang ramai di kawasan yang terlibat di Sabah sejak 2014.

“Kami komited untuk meneruskan program ini untuk menyebarkan mesej kesedaran bersama dengan sasaran Malaysia untuk kelahiran tiada Thalssaemia menjelang 2030,” katanya.

Dari segi program pembangunan keupayaan syarikat itu meliputi penyediaan latihan kemahiran  dan membangunkan keupayaan keusahawanan yang membantu meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat kurang bernasib baik di luar bandar pada 2014, 2016 dan 2018.

“Bagi pihak Repsol’ kami memanjangkan penghargaan dan terima kasih kepada pengamai media diatas peranan yang telah banyak menyiarkan aktiviti kami selama ini.

Kami amat menghargai persahabatan ini dan berharap kerjasama untuk menjangkau masyarakati akan berterusan,” katanya.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Yong Ted Phen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *