PENGAMBILAN AIR DI TELIBONG PERLU DIPERDALAMKAN

Oleh John Tambanan
6 Februari 2020

TAMPARULI: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony meminta Jetama Sdn Bhd untuk mendalamkan kedudukan tempat pengambilan air di Loji Rawatan Air Telibong, Tamparuli.

Beliau berkata, ia kerana kedudukan pengambilan air di tempat tersebut terlalu cetek dan terlalu banyak pasir dan ia perlu dibersihkan segera.

“Begitu juga saya menyarankan untuk dipertimbangkan penambahan kapasiti takungan untuk bekalan air di Telibong 1,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan untuk meninjau Loji Rawatan Air Telibong, Tamparuli bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), di sini, semalam.

Peter berkata, kedudukan air di Loji Telibong 1 adalah mencukupi tetapi tempat penyimpanan air agak kurang dan sudah tiba masa takungan air diperbanyakkan bagi membolehakan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

Bagi Loji Talibong 2 pula, Beliau berkata bahawa kerja-kerja untuk penyambungan fasa kedua loji berkenaan kini sedang giat dilaksanakan.

“Apa yang kita nampak di Telibong 2 ialah kekurangan takungan air atau penyimpanan air,” katanya.

Sehubungan itu, Peter berkata bahawa beliau akan menyarankan kepada JANS supaya menambah kapasiti penyimpanan bagi menampung kapasiti penduduik yang ada di sekitar Tuaran sehingga Sepanggar dan Kota Kinabalu.

“Kedudukan bekalan air daripada pengambilan air yang sedia ada di Telibong 2 cukup banyak cuma masalahnya tempat untuk penyimpanan air tidak cukup,” katanya sambil memambah kapasiti pada ketika ini di Telibong 2 adalah 80 mld.

Beliau turut berpendapat bahawa Loji Telibong 2 boleh menyalurkan lebih daripada takungan sedia ada memandangkan kedudukan air di loji berkenaan mencukupi.

“Jadi kita akan menyarankan kepada JANS supaya menambah kapasiti mungkin gandakan kapasiti sedia ada oleh kerana air cukup tapi penyimpanan air tidak ada,” katanya.

Peter berkata, pihaknya akan mengenalpasti dan menilai kedudukan tersebut untuk melaksanakan tempat penyimpanan air untuk Loji Telibong 2.

“Saya juga akan melawat beberapa loji lain termasuk Empangan Babagon dalam masa terdekat untuk meninjau keadaan termasuk keperluan sama ada untuk diperbesarkan dan jika kapasti perlu ditambah kita akan tambah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *