Pengedar dadah ditahan dalam satu serbuan. Kejadian di Pitas

Seorang lelaki bakal berhadapan hukuman gantung mandatori selepas ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu di Kampung Ranggu Pitas di sini.

Menurut Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak memaklumkan suspek ditahan dalam satu serbuan terancang di rumahnya kira-kira jam 12.22 pagi.

“Bertindak dengan maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menyerbu sebuah rumah sebelum menahan suspek yang berada di pintu tumah berkenaan.

“Pihak polis kemudiannya bertanya kepada suspek jika menyimpan bahan terlarang dan suspek yang gagal melarikan diri itu segera membawa pihak polis ke bahagian dapur.

“Suspek menunjukkan satu bungkusan plastik dan hasil pemeriksaan menemukan dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah dipercayai syabu seberat 5.06 gram dan satu tiub penyedut minuman mengandungi 1.22 gram syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya hasil soal siasat lanjut kemudiannya menemukan 75.37 gram syabu selepas suspek mengeluarkan satu bungkusan plastik dari dalam kocek seluarnya.

“Suspek yang tidak memlunyai sebarang pekerjaan serta barangan rampasan yang dianggarkan bernilai RM8, 165 pada harga pasaran semasa dibawa ke Balai Polis Pitas untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM8,000 dan sebuah kenderaan jenis sedan,” katanya.

Tambahnya hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah dari seorang individu di kawasan kedai Taman Telipok Ria Kota Kinabalu dengan harga RM3,800 untuk syabu seberat 50 gram dan RM7600 bagi 100 gram.

Katanya suspek turut mengakui mengambil bekalan dadah itu pada kekerapan empat kali sejak Oktober lalu dan bekalan dadah berkenaan adalah untuk dijual di sekitar Pitas.

“Suspek kini sedang ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *