KUALA LUMPUR, 23 Mac — Tuntutan 40 peratus hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan akan dirujuk ke mahkamah sekiranya Kerajaan Persekutuan berdegil untuk menghapuskannya.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ia bercanggah dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan sekali gus menafikan hak-hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah selama ini.
“Perkara ini akan dirujuk ke Mahkamah jika Kerajaan Persekutuan berdegil, dan andai kata masih mahu menghapuskan hak hasil cukai Sabah 40 peratus dalam Perlembagaan Malaysia kita akan buat bantahan dan mendapatkan rujukan dan nasihat lanjut daripada peguam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) turut menyatakan bahawa penghapusan hak tersebut akan menimbulkan satu persoalan baharu dalam perhubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Jangan sesekali cuba menindas Tanah Sabah dengan mencabuli Perlembagaan Perjanjian Pembentukan Malaysia dengan sewenang-wenangnya mengubah Perlembagaan tanpa merujuk di Dewan Parlimen.
“Perkara ini akan terus menjadi perjuangan pemimpin-pemimpin di Sabah terutamanya daripada UPKO selaku sebuah parti peneraju perjuangan rakyat.
“Saya juga pasti semua rakyat dan pemimpin Sabah menaruh harapan agar perkara ini dilaksanakan demi kemajuan Sabah,” katanya.
“Mudah-mudah dengan perjuangan kita semua dapat lah merasai hasil hak yang sepatutnya. Lambat atau cepat saya dan juga pemimpin Sabah yang lain pastinya tidak akan biarkan hak ini terhapus begitu sahaja,” kata Madius.
Baru-baru ini dalam persidangan Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Zafrul Azis ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking menyatakan bahawa hak Sabah hasil daripada pungutan cukai 40 peratus yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kini tidak lagi terpakai.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad