PENGURUSAN SEKOLAH PERLU SENTIASA PEKA, PATUHI SOP

PENAMPANG: Pihak pengurusan sekolah diingatkan agar sentiasa peka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 di kawasan sekolah masing-masing.

Pengarah Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin berkata meskipun secara keseluruhannya semua sekolah mematuhi SOP bagi pembukaan semula sesi persekolahan, namun, masih banyak perlu dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dalam membimbing sekolah di daerah masing-masing, terutama daripada segi amalan jarakan sosial di setiap kelas.

“Saya berharap semua sekolah lebih peka dalam usaha mencegah COVID-19 supaya keadaan sentiasa terkawal,” katanya kepada pemberita selepas memantau sesi pembukaan semula sekolah bagi Tahun Satu hingga Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) St Aloysius, Limbanak, dekat sini, hari ini.

Seramai 195,663 murid Tahun Satu hingga Empat di seluruh Sabah menyambung semula sesi persekolahan mereka yang tertangguh kira-kira empat bulan akibat penularan COVID-19 hari ini.

Bagaimanapun Mistirine berkata, terdapat satu sekolah rendah iaitu SK Daingin, Papar, masih belum dapat menerima semula kehadiran murid Tahun Satu hingga Empat berikutan kemudahan kerusi dan meja untuk murid-murid terbabit rosak akibat banjir bulan lepas.

Katanya murid Tahun Satu hingga Empat di sekolah itu dijangka menyambung semula sesi persekolahan mereka pada 3 Ogos ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mistirine berkata setakat ini terdapat lapan sekolah di Sabah membuat penggiliran sesi persekolahan, tujuh daripadanya adalah sekolah menengah, manakala satu lagi sekolah rendah iaitu SK Langkon, Kota Marudu.

Beliau berkata sekolah rendah terbabit berkongsi bangunan dengan sekolah menengah, justeru, pihak pengurusan perlu membuat penggiliran sesi persekolahan bagi memastikan amalan jarakan sosial di dalam kelas dapat dipatuhi seperti ditetapkan dalam SOP.

“Jadual pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di Sabah turut diberi tumpuan bagi memastikan ia memenuhi jumlah jam kredit minimum ditetapkan Kementerian Pendidikan sehingga 17 Disember ini,” katanya.-http://beritasabah.com