PENGUSAHA PELANCONGAN PERLU CUBA IDEA BAHARU PULIHKAN SEMULA SEKTOR

SANDAKAN: Pengusaha industri pelancongan perlu mencuba idea baharu untuk memulihkan semula sektor dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) Alexander Yee berkata ini boleh dilakukan dengan menjalin kerjasama dengan penduduk tempatan untuk menghasilkan produk baharu yang dapat menarik minat pelancong domestik.

“Kita tidak pernah mengalami pandemik seperti ini, jadi kita tidak tahu bagaimana untuk memulihkan sektor pelancongan, terutama sejak sempadan antarabangsa masih ditutup kepada pelancong asing. 

“Tetapi saya sendiri sebagai pengendali pelancongan, kami (pengusaha pelancongan) perlu bangunkan produk pelancongan baharu dan mencubanya. Ia adalah berbaloi untuk dicuba,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran,Kem Makananatau Food Camp, produk pelancongan baharu di Sandakan.

Yee juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana membenarkan sektor pelancongan domestik dibuka semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi penularan pandemik COVID-19. 

Mengenai Kem Makanan yang terletak di perkarangan Nature Lodge Sepilok, beliau berkata ia adalah idea syarikat pelancongannya, Nasalis Larvatus Tours Sdn Bhd, menampilkan produk baharu itu dengan harapan orang ramai dapat menikmati makanan dalam suasana santai berkonsepkan gerai yang menawarkan pelbagai juadah.

Beliau berkata buat permulaan, ia hanya menyediakan sebuah khemah yang boleh menempatkan tujuh gerai selain turut menawarkan trak makanan yang dipakir di di tepi jalan lodge itu, serta menyediakan taman permainan yang dibina menggunakan bahan kitar semula seperti tayar lama.

“Kem Makanan itu juga menawarkan pilihan kepada pengunjung yang sudah pasti membuka selera pelanggan selepas mengunjungi Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo dan Pusat Penemuan Hutan Hujan yang terletak berdekatan,” katanya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *