Peniaga kedai runcit disamun lelaki bersenjata kerambit

KENINGAU: Seorang peniaga kedai runcit berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki bersenjatakan kerambit dalam kejadian di kedai miliknya di Kampung Mempikit Laut, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa lelaki berusia 69 tahun itu bersendirian dan sedang menunggu pelajar pulang dari sekolah.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, ketika kejadian mangsa berseorangan sebelum didatangi suspek lelaki yang memakai topi keleder dengan visor gelap.

“Ketika itu, pintu kedai tidak tertutup dan suspek secara tiba-tiba muncul dengan memakai topi keleder lalu mengacukan sebilah pisau kerambit ke arah mangsa.

“Dalam keadaan panik, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya membiarkan suspek melarikan kontena kecil yang berisi duit siling,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik sahaja suspek beredar, mangsa terus ke Balai Polis Keningau untuk membuat laporan polis.

“Tiada sebarang kecederaan yang dialami mangsa dan kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM60.

“Usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X