Penjenayah bersenjata mati kena tembak

Seorang penjenayah bersenjata yang aktif melakukan kes curi dan pecah rumah di daerah ini disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna selepas terkena empat das tembakan.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, sepasukan polis daripada cawangan jenayah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah atas air tidak bernombor di Kampung Panji, di sini selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata semasa serbuan dilakukan,  suspek, Jamal Salih Kaldo, 40, berada di salah sebuah bilik di rumah tersebut.

“Menyedari kehadiran polis, lelaki itu bertindak mengambil sebilah parang sebelum melibas dan cuba menyerang polis.

“Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah paha sebelah kanan suspek untuk tujuan mempertahankan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Bagaimanapun, suspek masih bertindak agresif terus cuba menyerang polis sambil melibas parangnya menyebabkan satu lagi tembakan dilepaskan mengenai perutnya.

“Suspek masih berusaha menetak anggota polis yang menyebabkan dua lagi tembakan terpaksa dilepaskan mengenai perut dan rusuk kanan sebelum lelaki itu rebah di lantai.

“Suspek kemudian dihantar ke Hospital Semporna sebelum disahkan meninggal dunia jam 12.40 tengah malam,” katanya

Menurutnya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah tersebut dengan sembilan kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini sejak tahun lalu.

“Pihak polis dapat mengesan kegiatan jenayah suspek sebelum ini berdasarkan maklumat risikan dan perbandingan cap jari.

“Suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau sejak tahun 2008 dan telah dipenjara selama beberapa tahun termasuk satu kes serangan ke atas polis menggunakan parang pada tahun 2013,” katanya.

Mohd Farhan berkata sehingga kini polis masih menunggu ujian saringan COVID-19 sebelum bedah siasat dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *